Turun padang buat amal

Annyeonghaseyo!

Boleh dikatakan rata-rata artis Korea Selatan cukup aktif terbabit dalam pelbagai aktiviti kebajikan.

Bahkan, ada yang saban tahun tidak pernah gagal menyalurkan sumbangan kepada badan-badan tertentu.



Bagaimanapun,

bukan semua sanggup turun padang untuk melakukan sendiri aktiviti amal itu. Selalunya, mereka cuma akan menggunakan khidmat pihak ketiga untuk memastikan sumbangan itu sampai.

Bagaimanapun, pelakon tampan Park Bo Gum pula menggunakan pendekatan lebih berdedikasi kerana terbabit sendiri dalam menyampaikan sumbangannya.

Perkara itu cukup menyentuh sebuah institusi kebajikan kanak-kanak yang memuji tindakannya.



Institusi dinamakan Myung Jin Flower Love Village terbabit turut mendedahkan pelakon berkenaan sebenarnya sudah hampir 10 tahun menyumbang kepada mereka.

“Sumbangan penuh kasih sayang itu bermula pada 2013 dan tahun ini menjadi ulang tahun yang ke-10. Kami sangat berterima kasih kepada Park Bo Gum dan kelab peminatnya Ministry of Bo Gum.

“Mereka tidak pernah gagal untuk sentiasa menyumbang dengan penuh kasih sayang serta menyokong kami selama ini. Sumbangan setiap tahun itu benar-benar dapat memberi manfaat buat kanak-kanak di institusi kami,” kata kenyataan daripada badan itu.

Apa lebih menarik, sumbangan itu tidak hanya datang dalam bentuk barangan semata-mata, sebaliknya Bo Gum sendiri hadir dan turun padang untuk menyampaikan pelbagai jenis barangan berkenaan.



“Tahun ini, Bo Gum secara peribadi menyusun barangan berkenaan yang diterima daripada Ministry of Bo Gum. Pelakon itu hadir dengan tangannya penuh hadiah untuk diberikan kepada setiap kanak-kanak terbabit.

“Dia juga membuat sendiri label penghantaran, pemeriksaan produk, pengasingan barangan, malah mengatur hingga ke barangan perlu dibuang,” katanya.

Kemuliaan hati pelakon itu turut mencetus impak tersendiri kepada institusi terbabit.

Bagi mereka, cerminan daripada setiap tindakannya benar-benar membuktikan dia bukan sekadar artis yang berbakat sebaliknya berhati besar.



Mereka juga bersyukur kerana Bo Gum sentiasa menyalurkan aura yang cukup menyenangkan baik daripada gerak-geri serta tutur katanya.

“Dapat melihat sendiri dia bekerja keras. Kami dapati dia memang tercipta untuk sentiasa dipuji dengan pengaruh positifnya tidak berkesudahan. Hati kami rasa setiap ketulusan ayat-ayat daripada mulutnya.

“Terima kasih Park Bo Gum dan Ministry of Bo Gum yang dalam senyap menyertai perjalanan kami walaupun ia dilakukan secara diam-diam dan tidak didedahkan selama 10 tahun ini,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button