Sasterawan Zaharah Nawawi meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Sasterawan yang juga penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) 1996, Zaharah Nawawi, meninggal dunia akibat barah kulit, hari ini.

Allahyarham meninggal dunia pada jam 7.55 pagi tadi, selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pakar KPJ Rawang.

Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mawar Safei, berkata Allahyarhamah menghidap penyakit barah kulit dan menerima rawatan lebih intensif sejak awal tahun ini.



“Saya baru tahu beliau dimasukkan ke ICU malam tadi. Sebelum ini Allahyarhamah memang berulang ke hospital untuk menjalani pelbagai rawatan termasuk siri radioterapi.

“Setakat ini, jenazah masih di hospital dan dijangka akan dibawa pulang ke kediamannya di USJ,” katanya kepada BH, hari ini.

Mengulas sisi kepengarangan Zaharah, beliau berkata, Allahyarhamah sememangnya permata yang berharga dalam dunia sastera tanah air dengan semangatnya begitu kental untuk membangunkan penulis muda.

“Saya fikir dia seorang penulis yang bukan (menulis) untuk dirinya sahaja, tetapi banyak melahirkan penulis lain terutama penulis muda. Beliau di antara sasterawan lama yang menumbuhkan penulis muda dengan mengasaskan Kepeziatau Kelab Penulis Zaharah Nawawi.



“Malah sehingga detik terakhirnya, Allahyarhamah ada menulis satu manuskrip untuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama ahli Kepezi,” katanya.

Zaharah, 82, berasal dari Kampung Parit Jawa, Batu Pahat, Johor mula menulis sejak berusia 12 tahun dan mendapat pelbagai pengiktirafan dalam dunia penulisan di peringkat negara dan antarabangsa termasuk Hadiah Karyawan Sastera Johor dan Hadiah Sastera Johor Darul Ta’zim pada 1999.

Beliau pernah berkhidmat di Utusan Melayu sebagai wartawan Mingguan Malaysia dan pernah dilantik sebagai Karyawan Tamu di DBP pada 1997 hingga 1998.

Antara novel dihasilkannya termasuk Sebelum Berhujungnya Musim Bunga, Bulan dan Mentari, Jalur Sinar Di Celah Daun dan Hujan Sudah Teduh.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button