Warga emas mati dalam tandas awam

TELUK INTAN: Lelaki warga emas ditemukan mati di tandas awam Gerai Rakyat 1 Malaysia, Jalan Wah Keng Jooi, di sini, semalam.

Lelaki tanpa dokumen pengenalan diri itu ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas kerusi oleh seorang wanita yang kemudian menghubungi polis pada 7.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata lelaki berusia dalam lingkungan 60-an berkenaan dikatakan tinggal di tandas awam itu untuk menumpang berteduh.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awam, kali terakhir lelaki itu dilihat pada petang kelmarin.

“Difahamkan lelaki berkenaan sudah berada di situ sejak lima tahun lalu. Seorang penjaga gerai memberitahu lelaki itu dikenali dengan nama Wak Mail, namun asal usulnya tidak diketahui.

“Saksi juga tidak pernah melihat keluarga atau saudara-mara lelaki itu datang berjumpanya,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas mayat lelaki dipercayai berbangsa Melayu dan tidak berkerja itu mendapati tiada kecederaan luar dan kesan perbuatan jenayah.

“Butiran diri lelaki terbabit masih dikesan dengan menghubungi rakan yang mengenalinya dan pemeriksaan salinan cap jari.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk ujian COVID-19 dan proses bedah siasat,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mengenali lelaki warga emas itu diminta tampil membantu untuk mengesan waris terdekat.

Katanya, sebarang pertanyaan dan maklumat boleh menghubungi Inspektor Al Ikhsan Borhan di talian 017-6731800 bagi membantu siasatan.

BHOnline

Leave a Reply