Pasangan suami isteri direman tujuh hari

MANJUNG: Suami isteri yang ditahan polis selepas merempuh kenderaan pihak berkuasa itu dalam kejadian di Ayer Tawar, di sini, semalam direman tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki berusia 61 tahun dan isterinya, 38, direman sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, anak lelaki pasangan berkenaan yang turut berada dalam kereta ketika ditahan diserahkan kepada waris terdekat.



“Ujian awal saringan air kencing mendapati suami isteri terbabit positif methamphetamine,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam media melaporkan, polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kereta dipandu suspek lelaki dipercayai pengedar dadah selepas melanggar hadapan kenderaan pihak berkuasa dalam kejadian pada jam 4 petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, suspek menaiki kereta bersama isteri dan seorang anak lelakinya cuba melarikan diri, namun dikejar polis kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian sebelum berjaya ditahan.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button