Anggota polis cedera dirempuh motosikal

Kuching: Seorang anggota polis cedera selepas dirempuh motosikal ketika sedang memeriksa sebuah kereta di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Merbin Lisa berkata, selepas merempuh mangsa, motosikal yang dinaiki dua lelaki itu terus memecut lari.

Menurutnya, akibat rempuhan itu mangsa yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) mengalami patah pergelangan tangan kiri.

“Ketika kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa sedang menjalankan tugas memeriksa sebuah kereta.

“Sebuah motosikal yang tidak dikenal pasti nombor pendaftaran yang dinaiki dua lelaki datang dari arah belakang lalu merempuh mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kini masih dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat.

“Polis sedang berusaha mengesan individu yang bertanggungjawab dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menyalurkannya kepada polis.

“Makkumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, Inspektor Mohamad Fahmi Mohd Dzahir di talian 019-3209822.

METRO

Leave a Reply