Bursa Malaysia didagang tidak menentu pada sesi pagi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi, menjejaki prestasi semalaman di pasaran global ketika sentimen positif berikutan beberapa siri perkembangan terkini yang memberangsangkan dari China, termasuk kelonggaran beberapa sekatan COVID-19 yang merangsang keyakinan pelabur.

Bagaimanapun ia kembali mencatat penyusutan lebih 6.0 mata kira-kira dua jam kemudian.

Secara umumnya, pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.0 mata kepada 1,539.83 daripada 1,537.83 pada Jumaat.



Indeks penanda aras itu dibuka meningkat 0.91 mata kepada 1,538.74.

Bagaimanapun, di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 152 berbanding 133, manakala 258 kaunter tidak berubah, 1,712 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 202.12 juta unit bernilai RM67.43 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata FBM KLCI menyusut bagi sesi ketiga berturut-turut berikutan pelabur mengambil kenaikan selanjutnya dalam saham wajaran tinggi perbankan, dan mendapatkan saham daripada sektor teknologi dan tenaga.



“Kami percaya bursa tempatan dijangka mencatatkan pemulihan yang sederhana dengan sokongan aktiviti belian semasa harga rendah terutamanya dalam saham komoditi dan teknologi, disebabkan pergerakan semalaman di Wall Street yang tidak berubah.

“Bagaimanapun, risiko penurunan turut merangkumi inflasi global dan konflik Russia-Ukraine yang berpanjangan,” katanya menerusi nota hari ini.

Menurut firma pembrokeran itu, dari segi komoditi, harga minyak mentah berada di bawah paras US$120 setong berikutan kebimbangan terhadap ketidakseimbangan bekalan-permintaaan yang kekal menjadi tumpuan berikutan strategi sifar COVID-19 di China yang semakin mereda.

Bagi sektor yang menjadi tumpuan, ia berpandangan sentimen bagi sesi ini kekal positif bagi saham-saham teknologi terpilih berikutan Nasdaq yang telah diniagakan melebihi paras 12,000.



“Sementara itu, kenaikan harga minyak boleh membantu meningkatkan saham tenaga. Sektor lain yang turut kami tumpukan seperti perkapalan, perladangan dan (produk) pengguna,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan IHH Healthcare naik satu sen masing-masing kepada RM8.89, RM4.59 dan RM6.51, manakala Petronas Chemicals dan CIMB jatuh satu sen kepada RM9.98 dan RM5.09.

Bagi saham aktif, Yew Lee yang baru disenaraikan di Pasaran ACE menokok satu sen kepada 29 sen, G3 Global naik 1.5 sen kepada enam sen, Cocoaland Holdings menokok 17 sen kepada RM1.45, Serba Dinamik meningkat setengah sen kepada 12 sen, manakala IRIS Corporation susut setengah sen kepada 16.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas meningkat 22.13 mata kepada 11,035.07, Indeks FBMT 100 menokok 13.5 mata kepada 10,716.23, Indeks FBM Emas Syariah menokok 22.01 mata kepada 11,386.50, FBM 70 menambah 15.23 mata kepada 13,339.42, manakala FBM ACE turun 4.83 mata kepada 5,267.12.



Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 40.16 mata kepada 16658.95, Indeks Perladangan menokok 31.87 mata kepada 7,943.50, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.12 mata kepada 199.65.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button