Pekerja asing ‘ghaib’ ketika Ops Kesan

Seremban: Pekerja asing di beberapa premis di sekitar Seremban Jaya, di sini, dikesan ‘ghaib’ sebaik menyedari kehadiran Penguatkuasa Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang melakukan Ops Kesan, hari ini.

Malah, ada pemilik premis mendakwa pekerja asing berkenaan keluar rehat untuk makan tengah hari meskipun jam menunjukkan jam 10.45 pagi.

Wartawan yang turut serta operasi berkenaan turut mengesan tindakan majikan di sebuah kedai buah di situ yang tidak mengakui ada menggajikan pekerja warga Myanmar.



Ia bagi mengelakkan pekerja itu diperiksa sekali gus dikenakan kompaun kerana tidak mendaftar dengan Perkeso.

Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Fuad Alias berkata, majikan yang menggajikan sekurang- kurangnya seorang pekerja tanpa mengira had gaji, termasuk pekerja asing yang bekerja secara sah wajib mendaftar dengan Perkeso dalam masa 30 hari dari tarikh pekerja itu diambil bekerja.

“Sebelum operasi ini dilaksanakan, Perkeso memberikan tempoh pemutihan sepanjang bulan Mei 2022 dengan membuka peluang kepada semua majikan yang layak tetapi masih belum berdaftar supaya berbuat demikian secara sukarela sebelum 1 Jun 2022.

“Ops Kesan pada tahun ini memberi tumpuan mengesan majikan yang masih belum mendaftar mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800),” katanya pada sidang media di lokasi operasi.



Beliau berkata, kebanyakan syarikat besar atau perkilangan mendaftarkan pekerja mereka dengan Perkeso, namun pihaknya mengesan premis seperti kedai makan atau kedai runcit tidak mematuhi peraturan itu sepenuhnya.

“Seperti yang dikesan dalam operasi ini, kakitangan tempatan mendakwa pekerja asing hanya bekerja sementara dan ketika diminta mengemukakan dokumen, dia memaklumkan warga Nepal itu keluar makan.

“Malah, ada juga premis yang mengambil pekerja terdiri daripada ahli keluarga menyebabkan mereka tidak mengambil berat mengenai caruman pekerja. Apabila terjadi sesuatu kemalangan, barulah mereka mahu merujuk Perkeso.

“Mengikut prosedur yang sah, setiap pekerja asing yang diambil bekerja dengan permit yang sah melalui Jabatan Imigresen sepatutnya berdaftar secara automatik dengan Perkeso. Ini menunjukkan warga asing ini tiada permit atau dokumen pengenalan yang sah,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button