Sudah bayar tapi homestay ditempah tak wujud

Kuala Terengganu: Polis sedang mengenal pasti pemilik akaun dan nombor talian individu yang menawarkan pakej penginapan inap desa tidak wujud di daerah ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, ia susulan laporan polis dibuat mangsa berusia 25 tahun pada 3 Jun lalu selepas menjadi mangsa penipuan apabila inap desa yang dijanjikan tidak wujud.

Beliau berkata, kejadian bermula apabila mangsa menerima pesanan melalui telefon bimbitnya daripada suspek yang menyatakan dia pemilik sebuah inap desadi Jalan Pasir Panjang, di sini.

“Hasil perbincangan, mangsa membuat pembayaran secara dalam talian sebanyak RM221.50 dan pergi ke inap desa terbabit hari yang sama untuk menginap namun mendapati ia tidak wujud.

“Oleh itu mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

M Zambri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu

Sebelum ini tular di laman sosial Facebook mengenai keluarga membuat pembayaran untuk menginap di sebuah inap desa di daerah ini namun sebaik tiba dilokasi mendapati rumah terbabit tidak wujud.

METRO

Leave a Reply