Sultan Brunei umum rombakan Kabinet, menteri wanita pertama dilantik

BANDAR SERI BEGAWAN: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan rombakan awal menteri Kabinet berkuatkuasa semalam.

Dalam siaran ucapan khasnya di seluruh negara, baginda berkata, Kabinet baharu akan berkhidmat untuk tempoh empat tahun.

Baginda bertitah bahawa pelantikan itu adalah amanah yang mesti dilaksanakan dengan penuh taat setia dan bertanggungjawab.



Buat julung kalinya juga, wanita dilantik sebagai menteri dalam kerajaan Brunei iaitu Menteri Pendidikan, Romaizah Mohd Salleh.

Sementara itu, Sultan mengekalkan jawatan tertingginya sebagai Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri, Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan dan Ekonomi.

Bagaimanapun, menteri-menteri kanan berundur, termasuk Menteri Dalam Negeri, Awang Abu Bakar Apong, Menteri Sumber Utama dan Pelancongan, Ali Apong serta Menteri Pembangunan, Suhaimi Gafar.

Beberapa muka lama akan terus berkhidmat dengan portfolio sama antaranya Menteri Hal Ehwal Agama, Awang Badaruddin Awang Othman, Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Mohd Amin Liew Abdullah, Menteri Luar Negeri Kedua, Erywan Mohd Yusof dan Menteri Kesihatan, Md Isham Jaafar.



Menurut penganalisis media tempatan yang enggan namanya disiarkan, langkah rombakan awal Kabinet bertujuan menyuntik lebih kekuatan dan tenaga dalam sistem pentadbiran sambil mengekalkan kestabilan dalam bidang utama hal ehwal dalam dan luar negara.

Kali terakhir Kabinet dirombak pada Januari 2018 dengan tempoh lima tahun, apabila beberapa menteri veteran diganti.

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button