28 individu termasuk GRO ditahan dalam serbuan

Penampang: Seramai 28 individu tanpa dokumen pengenalan diri ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Pekan Koidupan, Jalan Penampang Baru, di sini, malam tadi.

Dalam operasi pada 11.40 malam itu, semua pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan membabitkan enam lelaki serta 22 wanita dipercayai pelayan pelanggan (GRO).

Jurucakap Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berkata, dalam operasi berkenaan, seramai 75 individu membabitkan pekerja dan pengunjung premis menjalani pemeriksaan dokumentasi.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, 28 daripada individu terbabit gagal mempamerkan dokumen yang sah dan melanggar akta imigresen.

“Mereka yang ditahan adalah membabitkan lima lelaki dan 15 wanita warga Filipina serta seorang lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Katanya, operasi berkenaan dijalankan dengan kekuatan seramai 37 pegawai dan anggota JIM.

METRO

Leave a Reply