700 karton bir tanpa cukai dirampas

MUKAH: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Bintulu merampas sejumlah 700 karton bir pelbagai jenama tanpa cukai kastam di sebuah kafe muzik di Jalan Orang Kaya Setia Raja, petang semalam.

Komander PPMW5 Sarawak, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd Ghazali dalam kenyataan hari ini berkata, hasil risikan dijalankan, Unit Risikan Marin (URM) PPMW5 Bintulu melakukan serbuan dan pemeriksaan ke atas premis terbabit.

“Tiba di lokasi, anggota URM dan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah memperkenalkan diri kepada seorang lelaki berusia 59 tahun yang dipercayai penjaga premis itu,” katanya.



Beliau berkata, pasukan penguatkuasaan kemudiannya menjalankan pemeriksaan dan menemukan 700 karton bir dianggarkan bernilai RM114, 984 yang disimpan dalam premis berkenaan.

Zulfikar berkata, semakan yang dijalankan turut mendapati penjaga premis terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pemilikan minuman keras itu.

Tangkapan serta barangan yang dirampas kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button