Video budak menangis selepas kalah sentuh hati – Syafiq

Petaling Jaya: Skuad Harimau Malaya tiada pilihan lain selain memastikan kemenangan dengan jaringan besar ke atas Bangladesh untuk layak ke Piala Asia 2023.

Penyerang, Syafiq Ahmad berkata, peluang yang sudah terhidang untuk beraksi di Piala Asia seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin pada perlawanan terakhir menentang Bangladesh, malam esok.

Menurutnya, dia percaya pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon mempunyai formula dan perancangan terbaik bagi memastikan pasukan negara meraih keputusan positif.



“Paling penting adalah pemain beraksi dengan taktikal dirancang jurulatih. Jika kita ikut, pasti akan meraih kemenangan dan boleh layak ke Piala Asia 2023.

“Setiap perlawanan ada tekanan kepada pemain, namun apabila beraksi di tempat sendiri perlu bijak menanganinya dan pastikan kemenangan berpihak kepada kita,” katanya pada sidang media pra perlawanan Kumpulan E antara Malaysia bertemu Bangladesh, hari ini.

Selain itu, Syafiq berkata, dia mengetahui kekecewaan penyokong Harimau Malaya selepas tewas 1-2 kepada Bahrain, Sabtu lalu, hingga Malaysia berdepan laluan agak sukar untuk ke pentas Piala Asia.

“Saya ada lihat video tular mengenai seorang budak menangis selepas kita tewas kepada Bahrain dan semua pemain terkesan melihatnya.



“Oleh itu, kita perlu menang bukan hanya untuk diri sendiri, tapi demi seluruh rakyat Malaysia, sekali gus mengubati kedukaan mereka.

“Rugi kalau terlepas peluang ini kerana ia adalah waktu terbaik untuk ke Piala Asia 2023,” katanya.

Malaysia yang menduduki tangga kedua Kumpulan E mengharapkan kemenangan dengan jaringan besar pada perlawanan malam esok dalam usaha melayakkan diri ke pentas Piala Asia 2023.

Selepas dua perlawanan, Bahrain kini berada di tangga teratas kumpulan dengan enam mata diikuti Malaysia (3 mata) dan tempat ketiga Turkmenistan (3 mata) manakala Bangladesh di tangga tercorot.



METRO


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading