Inflasi naik mendadak jika subsidi minyak diganti

KUALA LUMPUR: Kadar inflasi di Malaysia akan melonjak ketara seandainya kerajaan menggantikan subsidi bahan api semasa dengan mekanisme subsidi bahan api bersasar dan menyediakan bantuan tunai kepada kumpulan 60 peratus berpendapatan terendah, demikian menurut Kenanga Research.

“Kami menjangkakan kadar inflasi akan meningkat di atas purata enam peratus tahun ini, memandangkan harga petrol RON95 akan melebihi RM4 seliter (tanpa subsidi).

“Disebabkan itu, kami percaya bahawa penetapan harga bahan api secara bertingkat atau mengikut jumlah adalah pilihan lebih baik dan memberikan kesan yang lebih kecil terhadap inflasi serta ekonomi keseluruhan,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota.



Bagaimanapun, ia menegaskan bahawa kadar inflasi di Malaysia berkemungkinan akan tetap meningkat pada separuh kedua 2022 dengan pemansuhan harga siling makanan asas, dasar ketat COVID-19 oleh China dan perang berterusan Russia-Ukraine.

“Memandangkan harga makanan dijangka terus meningkat, kami menyemak semula unjuran Indeks Harga Pengguna (IHP) utama kepada 3.3 peratus daripada 2.9 peratus,” katanya.

Kenanga Research berkata, walaupun kebimbangan terhadap inflasi di berlaku seluruh dunia disebabkan oleh lonjakan harga makanan dan tenaga, Malaysia masih lagi merekodkan paras inflasi yang boleh diterima iaitu 2.4 peratus setakat tahun ini.

Katanya, ia sebahagian besarnya disebabkan oleh pelbagai skim kawalan harga kerajaan dan juga subsidi.



“Bagaimanapun, perlu dinyatakan bahawa inflasi makanan domestik melonjak ke tahap tertinggi dalam tempoh 127 bulan pada Mei di tengah-tengah pertambahan kos input dan peningkatan permintaan pengguna,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, kadar inflasi dijangka meningkat dan berada pada purata kira-kira 4.1 peratus semasa separuh kedua 2022, menjadikan IHP keseluruhan bagi tahun ini diunjurkan 3.3 peratus.

“Bagaimanapun, dalam jangka pendek, pemansuhan permit import (AP) bagi sebahagian item makanan dan sekatan ke atas sebahagian eksport ayam dapat membantu mengurangkan sedikit tekanan inflasi,” katanya.

Berikutan tekanan inflasi semakin meningkat, Kenanga Research menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada baki tiga mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada tahun ini, menjadikan kadarnya kepada 2.75 peratus menjelang akhir 2022.



Ia berkata, kenaikan kadar di lebih awal daripada jangkaan bulan lalu memberikan isyarat pendekatan agresif BNM disebabkan petunjuk bahawa permintaan domestik telah meningkat selepas pelonggaran sekatan COVID-19.

“Selain itu, pendirian BNM itu juga mungkin mengambil kira tekanan inflasi, memandangkan IHP di Malaysia dijangka meningkat pada separuh kedua 2022, di tengah-tengah pemansuhan beberapa siling harga dan subsidi, selain gangguan rantaian bekalan global.

“Tambahan pula, BNM mungkin bermotivasi untuk menaikkan OPR bagi memberikan sedikit sokongan kepada ringgit dan sebahagiannya meminimumkan aliran keluar modal.

“Ia berikutan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan meneruskan kenaikan kadar faedah lebih tinggi daripada kebiasaan dan itu akan mengecilkan perbezaan pulangan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS)-Perbendaharaan AS (UST) yang boleh meningkatkan lagi aliran keluar dana asing dari pasaran bon Malaysia,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button