70 rumah di Sik dinaiki air

SIK: Kira-kira 70 rumah yang membabitlan lapan kampung di daerah ini dinaiki air dengan 20 mangsa daripada tujuh keluarga terpaksa dipindahkan akibat hujan lebat, malam tadi.

Kampung terbabit adalah Kampung Lentang, Kampung Kuala Betong, Kampung Belantik Dalam, Kampung Surau dan Kampung Pinang di Mukim Sok dan tiga kampung lagi iaitu Kampung Belimbing, Kampung Jerai dan Kampung Lubuk Tualang di mukim Sik.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah, berkata Pusat Kawalan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sik, menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 1.20 pagi berhubung kejadian banjir di Mukim Sik.



Katanya, rumah mereka dinaiki air selepas air Hulu Sungai Lentang dan Hulu Sungai Sok melimpah.

“Setibanya di lokasi, skuad Bravo mendapati paras air memasuki rumah penduduk mencecah paras kira-kira satu meter. Seramai 20 mangsa daripada enam keluarga dari Kampung Pinang dan satu keluarga di Kampung Surau dipindahkan ke surau kampung berkenaan pagi tadi.

“Kami juga menerima panggilan kecemasan mangsa terperangkap di Kampung Kuala Betong Belantik dan Kampung Landai Gulau, anggota APM Sik telah ke lokasi untuk menyelamat mangsa terperangkap selepas air melimpah ke rumah mereka lebih satu meter.

“Mereka yang terperangkap berjaya kemudian dipindahkan ke rumah saudara-mara berdekatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.



Haisul Aisyah berkata, bagi tiga kampung di mukim Sik, 20 rumah dinaiki air kira-kira jam 4 pagi tadi selepas air Sungai Chepir melimpah ke rumah mereka.

Bagaimanapun, tiada mangsa yang dipindahkan dan air sudah surut kira-kira 6.30 pagi tadi.

Haisul Aisyah menasihatkan, penduduk di sekitar daerah Sik terutamanya yang tinggal berhampiran sungai dan kawasan berisiko banjir diminta bersiap siaga dan memastikan dokumen penting dan barangan berharga disimpan di tempat yang selamat.

Katanya, ini berikutan musim hujan dijangka berlarutan sehingga November depan.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button