LPT2 dijangka sesak sempena cuti Aidiladha



Kuala Lumpur: Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Sdn Bhd menjangkakan pertambahan lebih 55,000 kenderaan sempena cuti sambutan Aidiladha bermula 8 hingga 12 Julai ini.

Pengarah LPT2 Sdn Bhd Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pihaknya akan menempatkan 50 anggota LPT2Ronda bagi meningkatkan tahap rondaan dan kelancaran perjalanan pengguna terutama di lokasi kritikal antara Jabor dan Kuala Terengganu membabitkan laluan sepanjang 184 kilometer.

“Kami menjangkakan lebih 55,000 kenderaan akan menggunakan laluan LPT2 pada setiap hari puncak di antara 8 hingga 12 Julai berbanding 18,000 kenderaan pada hari biasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pengguna Lebuhraya LPT2 digalakkan merancang perjalanan mereka lebih awal dan menggunakan Waze atau Google Map sepanjang perjalanan mereka.



“LPT2 juga mengingatkan pengguna lebuh raya untuk memastikan kad Touch ‘n Go mereka aktif dan mempunyai baki mencukupi untuk melancarkan transaksi tol sebelum memulakan perjalanan mereka.

“Kiosk tambah nilai kad Touch ‘n Go juga disediakan di semua plaza tol dan semua kawasan rehat di LPT2 untuk membolehkan pengguna menambah nilai kad mereka.

“Pengguna Lebuhraya LPT2 juga dinasihatkan supaya memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik dan selamat untuk perjalanan jarak jauh.

“Sila patuhi had laju, elakkan mengekori kenderaan terlalu rapat dan berehat sebentar di kawasan rehat dan rawat (R&R) pada bila-bila masa yang diperlukan,” katanya.



Beliau berkata, pengguna lebuh raya memerlukan bantuan di LPT2 juga boleh menghubungi talian hotline LPT2 di 1800-88-0220.

“Maklumat trafik terkini juga disediakan melalui perkhidmatan Twitter LPT2trafik, papan tanda mesej elektronik (VMS) di sepanjang lebuh raya dan pengumuman trafik semasa melalui stesen radio utama,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker