Lelaki tak jadi terjun daripada jambatan selepas dipujuk

Kuala Terengganu: Seorang lelaki berjaya dipujuk orang awam daripada cuba membunuh diri dengan terjun daripada Jambatan Sultan Mahmud di sini, jam 5.48 petang semalam.

Tindakan lelaki berusia 29 tahun itu disedari orang ramai yang melihatnya berdiri di luar tepi penghadang jalan jambatan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, pihaknya dimaklumkan berkaitan kejadian oleh orang awam sebelum bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami dapati orang awam berjaya memujuk lelaki terbabit daripada terjun.

“Lelaki itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan perubatan,” katanya pada kenyataan hari ini.

Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati, lelaki itu dipercayai mengalami tekanan perasaan akibat masalah peribadi.

“Ujian saringan awal air kencing turut mendapati lelaki terbabit positif Methamphetamine,” katanya.

Lelaki terbabit kemudiannya ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memasukkan dadah dalam badan dan Seksyen 309 Kanun Kesiksaan kerana cubaan bunuh diri.

Terdahulu, tular video berdurasi 15 saat dimuat naik di laman sosial jam 8 malam tadi memaparkan seorang lelaki berdiri di luar tepi penghadang jalan jambatan berkenaan sebelum orang ramai yang melalui kawasan itu berhenti untuk memujuknya.

METRO

Leave a Reply