Polis buru suspek utama kes bunuh di Jalan Tun H.S Lee

Kuala Lumpur: Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi giat mengesan dan mengenal pasti identiti suspek utama dalam kes bunuh di Jalan Tun H.S Lee, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata terdahulu pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian pergaduhan di lokasi berkenaan jam 2.26 petang.

Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian menjumpai tiga lelaki warga asing berusia 30 tahun hingga 40 tahun dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri.



“Hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada lelaki berkenaan sudah meninggal dunia, manakala dua lagi yang mengalami cedera parah di bahagian badan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

“Kira-kira 5 petang hari ini, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi berjaya menangkap seorang lelaki bukan warganegara berusia 52 tahun bagi membantu siasatan dalam kes ini.

“Tangkapan (suspek) akan direman pada 20 Julai 2022 (esok) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan dan mengenal pasti identiti suspek utama yang terbabit dalam kes bunuh itu.



Menurutnya, motif dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis.

“Sehubungan itu pihak polis memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan

sebarang maklumat berkaitan kes ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button