Taman Eko Rimba Beserah ditutup akibat kencing tikus

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bertindak menutup sementara Taman Eko Rimba (TER) Beserah, di sini, berikutan terdapat kes jangkitan leptospirosis atau kencing tikus.

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong, berkata pihaknya terpaksa bertindak menutup sementara TER Beserah, bermula semalam sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan nanti.

Menurutnya, TER Beserah terkenal dalam kalangan penduduk setempat dan pelancong daerah ini, mereka berkelah sambil mandi kolam yang terdapat di situ. Pada hujung minggu dan cuti umum tempat berkenaan menjadi tumpuan pengunjung.



Katanya, TER Beserah tidak mempunyai operator untuk melakukan aktiviti menyelenggara, faktor berkenaan menyebabkan tempat berkenaan tidak terurus berbanding beberapa TER yang terdapat di daerah ini.

“Saya menasihatkan kepada penduduk setempat termasuk pelancong supaya tidak cuba masuk ke kawasan perkelahan itu sebelum ia disahkan selamat oleh pihak berkuasa.

“Mereka yang ingin berkelah sambil mandi boleh berkunjung kebeberapa TER di daerah ini seperti TER Sungai Pandan dan TER Berkelah yang menjadi tumpuan pelancong,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, difahamkan dua remaja kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas dipercayai dijangkiti kencing tikus selepas mandi di TER Beserah.



Regina berkata, kes kencing tikus pernah berlaku di TER Lubuk Yu, Maran pada 2010 yang menyebabkan tempat berkenaan terpaksa ditutup beberapa bulan demi keselamatan pengunjung.

“Saya menasihatkan kepada pengunjung TER di negeri ini supaya sentiasa menjaga kebersihan, lebihan makanan dibuang dalam tong sampah disediakan atau dibawa pulang.

“Perbuatan mengabaikan kebersihan di pusat rekreasi menjadi punca utama kes kencing tikus mudah berlaku,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button