Gimik Perasmian Ekspo Kerjaya

CAPTION: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (empat kiri) melakukan gimik
perasmian Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat
Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur semalam.

Oleh Azrin Muhammad

KUALA LUMPUR – Kerajaan mahu generasi muda terus menyokong serta memperkukuh semangat Keluarga Malaysia menerusi program Jamin Kerja Keluarga Malaysia bagi meningkatkan kebolehpasaran dalam industri pekerjaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program berkenaan menggabungkan dua inisiatif sedia ada iaitu Program Latihan dan Penempatan Jangka Pendek (MySTEP) dan Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia).

“Hal ini sejajar dengan tumpuan kerajaan untuk membangunkan bakat masa hadapan serta menjadi salah satu agenda sebagai pemangkin dasar utama di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

“Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah dikenal pasti oleh kerajaan sebagai pemacu perubahan bagi memenuhi permintaan majikan,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan. Ekspo berkenaan berlangsung pada 23 hingga 27 Julai dengan menyediakan
30,000 peluang pekerjaan melalui 1,000 majikan merangkumi pelbagai sektor bermula pukul 9 pagi sehingga 5 petang.

Antara kemudahan yang disediakan dalam program berkenaan adalah sesi temu duga secara langsung, bantuan pendaftaran Portal Pekerjaan Negara MyFutureJobs, kaunseling kerjaya dan bengkel resume.

Dalam perkembangan sama, Ismail juga memberitahu, kerajaan turut memberi perhatian terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) menerusi Pelan Tindakan OKU 2016-2022, khususnya dalam aspek penyediaan peluang pekerjaan.

Tambahnya, setakat ini, seramai 36,281 orang OKU berjaya mendapat tempat dalam industri dengan bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), di samping mempergiat program pemerkasaan ekonomi selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia.

“Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh Program Jamin Kerja Insentif Penggajian (JKIP) selama enam bulan sehingga 31 Disember selepas mendapati JKIP dan MYFutureJobs berjaya menyediakan 113,672 jaminan pekerjaan dalam kalangan Keluarga Malaysia.

“Lanjutan Program JKIP ini akan menumpukan kepada pengambilan pekerja dalam kategori mudah terjejas seperti golongan OKU, wanita, individu yang hilang pekerjaan, pekerja dalam sektor pelancongan dan bekas banduan,” katanya.

Leave a Reply