Perasmian dan Penamaan Kem Al-Sultan Abdullah Markas Angkatan Bersama

Kuantan – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penamaan Kem Al-Sultan Abdullah Markas Angkatan Bersama di Jalan Panching, Kuantan, hari ini.
Turut berangkat KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut YAB Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi bin Buang, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Indera Yazid Arshad.
Sejurus keberangkatan tiba, Seri Paduka Baginda, yang juga selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota diketuai Mejar Mohd Noorazmin Abd Rahim.
Seri Paduka Baginda kemudiannya dipersembahkan dengan gimik acara pelancaran yang melibatkan gabungan aset dan aksi penerjunan anggota khas dari ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia.
Seri Paduka Baginda turut diberi persembahan taklimat mengenai peranan serta fungsi Markas Angkatan Bersama (MK AB) bertempat di Pusat Operasi Bersama (POB) serta berinteraksi secara sidang video dengan pegawai dan anggota ATM yang sedang melaksanakan tugas Operasi Pasir di Sabah serta yang bertugas di misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kem Al-Sultan Abdullah yang dinamakan sempena nama Seri Paduka Baginda telah dirancang pembinaannya sejak 2007 dengan pemilihan di Jalan Panching susulan kedudukan kem dan pangkalan Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara sedia ada di Kuantan sekali gus dapat menyokong pengoperasian MK AB.
Projek pembinaan kem seluas 39.56 hektar ini siap pada 25 April 2019 dan diserahkan kepada MK AB pada 11 Jun 2019 serta majlis pengoperasian telah dilaksanakan pada 1 Julai 2019.
Kem tersebut menempatkan lebih 300 pegawai dan anggota pelbagai peringkat dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan dalam ATM.
MK AB diwujudkan untuk mengendalikan tugas berdasarkan kepada konsep penugasan bersama (Jointness), yang bersifat tiga khidmat (Tri-Service) di dalam ATM, selain berperanan untuk menyelaraskan keperluan dalam operasi dan misi di bawah PBB.

Leave a Reply