Ingatkan kena scam, rupanya menang X50



Petaling Jaya: Juruaudit, Ahmad Shahrul Mohamed, tidak menyangka terpilih sebagai pemenang utama kempen hartanah Uda 50 Golden Offers , malah pada awalnya menganggap ia adalah scammer.

Ahmad Shahrul, 52, berkata, beliau menerima panggilan daripada kakitangan Uda Holdings Berhad (Uda) yang memaklumkannya memenangi hadiah utama iaitu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50.

Menurutnya, beliau melihat nombor yang menghubunginya itu beberapa kali untuk kepastian.

Beliau berkata, kempen itu disertai ketika membuat pembelian hartanah terbaharu yang dibangunkan Uda iaitu sebuah unit kondominium 38 Bangsar Residensi di Kuala Lumpur, pada tahun lalu.



“Saya berulang kali tanya betul ke saya menang, manalah tahu scammer. Zaman sekarang ini banyak kes orang kena scam dan pelbagai taktik digunakan scammer untuk menipu.

“Saya pun sudah lupa ada menyertai kempen terbabit. Apabila diberi penjelasan oleh kakitangan itu, baru saya ingat ada menghantar penyertaan secara dalam talian,” katanya ketika ditemui Harian Metro pada Majlis Makan Malam Ulangtahun Ke-50 Uda di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Penyampaian replika kunci kenderaan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar serta Pengerusi Uda Datuk Norliza Abdul Rahim.



Sementara itu ditanya perasaan selepas memenangi hadiah utama, bapa kepada tujuh anak itu melahirkan kesyukuran dengan rezeki yang dikurniakan Allah SWT, selain berterima kasih kepada Uda.

“Saya tidak pernah menang apa-apa kempen sebelum ini, jadi saya tidak meletakkan harapan.

Memang tak sangka akan terpilih dan ini adalah rezeki daripada Allah,” katanya.

Katanya, beliau belum memikirkan lagi sama ada mahu menggunakan sendiri kenderaan itu atau dihadiahkan kepada ahli keluarga.



Kempen yang berlangsung dari 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2021 itu turut menampilkan hadiah dwi bulanan.

Seramai 64 pemenang dipilih dan hadiah diterima berupa jongkong emas, motosikal, Apple iPad Pro, kelengkapan rumah, baucer penginapan AnCasa Hotels & Resorts serta pelbagai lagi.

Nilai pembelian hartanah sepanjang tempoh kempen itu mencecah RM156.1 juta.

Pada majlis sama, Uda turut memperkenalkan penjenamaan baharu Life iaitu legacy (legasi), integrated (integrasi), finesse (ketelitian) dan enrich (memperkasa) sebagai tunggak utama perniagaan selain melancarkan buku ‘UDA 50 Tahun, Bersama Meneruskan Legasi’.



METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker