KPDNHEP serbu stor diesel haram, tahan 14 individu

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur menyerbu sebuah premis berhampiran Taman Batu Permai, Jalan Ipoh di sini yang dijadikan stor penyimpanan diesel haram, Jumaat lalu.

Serbuan dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hasil risikan yang dijalankan selama dua minggu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Nurul Syarina Md Anuar, berkata risikan mendapati beberapa lori ‘bonded’ yang diubah suai membuat pembelian diesel di stesen minyak sekitar ibu negara termasuk Setapak, Kepong, Wangsa Maju dan Jalan Kuching.



“Lori-lori terbabit kemudian menghantar diesel itu ke stor haram. Kita dapati pembelian diesel bersubsidi dibuat setiap hari dengan kuantiti dianggarkan melebihi 50,000 liter.

“Keseluruhan transaksi pembelian membabitkan pembayaran hampir RM107,500 dan setiap transaksi dilakukan secara tunai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kegiatan itu dikesan dilakukan seawal jam 8 pagi hingga jam 8 malam sahaja iaitu pada waktu sibuk bertujuan untuk mengelak daripada dikesan.

“Kesemua pemandu lori ini amat berhati-hati serta akan melalui jalan yang agak sunyi bagi mengelak diekori oleh Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang (LEA’s) dalam penghantaran bekalan diesel ke stor berkenaan.



“Bekalan yang dihantar ke stor berkenaan akan dipindahkan ke lori tangki dan dijual kepada pemborong berlesen yang beroperasi di Lembah Klang,” katanya.

Mengulas lanjut, Nurul Syarina berkata hasil pemeriksaan di stor haram itu, pihaknya menyita 15,700 liter diesel dianggarkan bernilai RM33,755, dua lori tangki, dua lori bonded , empat pam dan tiga hos minyak serta resit-resit pembelian dengan jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan RM224,000.

“Kita turut menahan 14 individu terdiri 13 pekerja serta pemilik stor haram terbabit. Kesemua suspek lelaki warga tempatan itu ditahan kerana disyaki terbabit dalam urus niaga barang kawalan tanpa lesen yang sah.

“Siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya.



Kata beliau, siasatan secara lebih mendalam akan dilakukan pihaknya berhubung rantaian penyelewengan didalangi sindiket ini.

Selain itu, katanya KPDNHEP WP Kuala Lumpur akan meneruskan kerjasama dengan PDRM dan agensi-agensi penguatkuasaan lain untuk memperkemas tindakan penguatkuasaan membendung ketirisan subsidi.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button