Suami isteri dera anak angkat didakwa

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri yang ditahan di Beranang, Selangor kerana mendera anak angkat berusia empat tahun pada 22 Julai lalu, akan dihadapkan ke mahkamah.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata wanita warga tempatan dan suaminya, seorang warga Singapura berusia 28 dan 30 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Bandar Baru Bangi, dekat sini pada jam 9 pagi.

Katanya, kedua-duanya akan dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana secara bersama-sama melakukan penganiayaan ke atas mangsa seorang kanak-kanak sehingga mendatangkan kecederaan.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Suami wanita itu juga akan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa di Malaysia dan jika didapati bersalah, boleh dijatuhkan hukuman denda tidak kurang dari RM10,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri itu ditahan di sebuah rumah sebuah perumahan di Beranang pada jam 2.30 pagi 22 Julai lalu selepas menerima aduan daripada seorang orang awam pada jam 12.14 tengah malam hari sama.

Mangsa adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga seorang anak hiperaktif.

Siasatan awal polis mendapati kejadian disebabkan mangsa yang tidak suka makan nasi dipaksa untuk menelan nasi sehingga termuntah.

Mangsa dikatakan dipukul oleh pasangan terbabit dengan menggunakan ‘hanger’, kayu penyapu dan kadang kala dicucuh dengan pemetik api.

Mohd Zaid dipetik berkata ibu kandung mangsa adalah seorang warga Indonesia dan kelahirannya tidak didaftarkan dan tiada dokumen pengenalan diri.

Mangsa diserahkan kepada pasangan suami isteri itu untuk dijaga sejak April lalu kerana ibu kandungnya tidak berkemampuan untuk menjaganya.

BHOnline

Leave a Reply