Mesyuarat cawangan, perwakilan diteruskan tanpa agenda pemilihan jawatan

Deputy President of UMNO Tan Seri Mohamad Hasan delivers speech at the closing of Umno General Assembly 2018 at PWTC.
AZHAR MAHFOF/The Star (30/09/2018)

KUALA LUMPUR: UMNO akan meneruskan agenda mesyuarat peringkat cawangan dan perwakilannya di seluruh negara, walaupun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sudah meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti seperti diputuskan sebelum ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata bagaimanapun semua mesyuarat terbabit akan berlangsung tanpa adanya pemilihan jawatan.

Mengulas lanjut, katanya mesyuarat cawangan dijangka diadakan pada September hingga pertengahan Oktober ini, disusuli mesyuarat perwakilan di seluruh negara pada penghujung November.

“Mesyuarat cawangan dan mesyuarat bahagian di seluruh negara akan diadakan tahun ini seperti dijadualkan.



“Tiada agenda pemilihan. Mesyuarat tahunan biasa untuk tahun 2022. Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk tahun 2022 juga akan diadakan hujung tahun ini,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan ROS yang meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO yang diputuskan parti itu sebelum ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dilapor berkata, kelulusan diberikan oleh ROS selepas menilai segala dokumen berkaitan pindaan lebih 60 hari itu yang berkuat kuasa 29 Julai.

ROS dilapor bersetuju kepada pindaan Perlembagaan UMNO supaya pemilihan parti itu di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen (Dewan Rakyat).



Ditanya sama ada semua negeri di bawah Barisan Nasional (BN) akan meminda Undang-Undang Tubuh Negeri bagi membolehkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti dikuatkuasakan, Mohamad berkata, perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu.

“Parti akan meneliti dengan Penasihat Undang-Undang berkenaan perkara tersebut,” katanya.

Khamis lalu, Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

RUU yang digubal berasaskan lapan parameter utama itu diluluskan menerusi undi belah bahagian selepas dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Rabu lalu.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button