Johan, Fizi sah penyampai radio Hot FM

KUALA LUMPUR: Teka-teki penyampai radio, Johan dan Fizi Ali menyertai Hot FM akhirnya terjawab apabila disahkan menjadi ahli keluarga baharu stesen radio popular itu.

Menerusi kenyataan dikeluarkan malam ini, bermula 2 Ogos ini, Hot FM tampil dengan pembaharuan sekali lagi dengan penjenamaan semula tagline stesen radio dengan kehadiran dua tonggak baharu menerusi kemasukan Johan dan Fizi.

Kehadiran dua penyampai popular itu bakal memberikan satu kelainan pada barisan penyampai dan stesen Hot FM untuk tampil lebih hangat dan terbaik.

Gandingan trio baharu yang bakal menghangatkan slot pagi menampilkan Johan bergandingan dengan Fara Fauzana dan AG ke udara setiap Isnin hingga Jumaat, antara jam 6 hingga 10 pagi.

“Dengan nama segmen baharu, Bekpes Hot, HaHaHa-Ngat pastinya akan memberikan sesuatu berbeza kepada pendengar.

“Ia terutama pengisian dan kandungan segmen lebih segar, komedi, celoteh dan gelak tawa yang menghiburkan, selain mampu memberikan aura positif kepada pendengar,” kata kenyataan berkenaan.

Sementara itu, duo penyampai radio baharu segmen petang pula menggandingkan Fizi dan Fad Bocey bagi mengukuhkan Hot FM Sembang Squad.

“Duo baharu lebih macho dan mantap akan mengendalikan segmen petang dengan pengisian lebih segar dengan cerita hangat masa kini.

“Malah, Fad dan Fizi akan menjadi geng drama pendengar untuk bercerita mengenai drama disiarkan di TV3.

“Mereka akan ke udara bermula 3 petang hingga 7 malam, setiap Isnin hingga Jumaat,” kata kenyataan itu lagi.

Manakala, segmen Hot FM Non Stop Empat Lima bersama Ayu akan ke udara bermula 10 pagi hingga 3 petang akan memfokuskan kepada 45 minit lagu bebas iklan, muzik istimewa dan ulangan segmen pagi.

Segmen malam, Hot Flix masih dikendalikan oleh Imran Aqil yang memfokuskan pendengar generasi muda, hiburan dan interaksi bersama selebriti, pemain video, pemengaruh dan pendengar yang aktif dalam media sosial.

Hot Flix bersama Imran Aqil akan ke udara bermula 8 malam hingga 12 tengah malam, setiap Isnin hingga Jumaat.

Sementara itu, Johan menerusi Instagram (IG), malam ini, bersyukur bakatnya masih dihargai.

“Rezeki Allah datang dengan pelbagai cara. Yang pasti usaha, doa, tawakal dan reda atas setiap ujian.

“Allah uji dengan kesedihan dan kami reda. Maka, Allah ganti dengan yang baharu.

“Syukur kepada Allah masih ada yang hargai. Jangan lupa dengarkan HoT FM, setiap Isnin hingga Jumaat bersama Bekpes Hot bersama saya, Fara dan AG,” tulisnya.

Johan memanjangkan ucapan terima kasih kepada orang kuat Hot FM termasuklah Nazri Noran, Datuk Jake Abdullah dan Aaron Pinto.

Tak ketinggalan kelab peminatnya, The Joz Heart.

Sebelum ini, Hot FM tampil dengan tagline Kini Lebih Muzik Yang Hangat, kini Hot FM menukarnya kepada Yang Hangat dan Terbaik.

Perubahan tagline dibuat kerana elemen identiti jenama mampu memberikan gambaran menarik dan terbaik dari semasa ke semasa. Komponen tagline itu berupaya memberikan lebih banyak info mengenai pengisian dan kandungan dibuat Hot FM.

Ketua Rangkaian Kandungan Hot FM & Molek FM, Nik Nor Azura Nik Mahmood berkata, pertukaran tagline salah satu strategi memastikan pendengar akan sentiasa dekat dan bersesuaian dengan pengisian terkini.

“Ia memfokuskan kepada setiap kandungan, barisan penyampai, muzik dan aktiviti lapangan yang diadakan agar sentiasa hangat serta terbaik buat pendengar Hot FM yang sentiasa menyokong selama ini,” katanya.

Selain itu, Hot FM akan mengadakan jelajah di Semenanjung Malaysia bagi mendekati dan meraikan pendengar setia Hot FM yang pastikan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti.

Antaranya, persembahan hebat artis tanah air. Info lanjut mengenai jelajah akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, selepas lebih dua tahun tanpa kehadiran ‘Duta Jalanan Hot FM’ di lapangan, kini Hot FM Zoomerz kembali mendekati pendengar setia Hot FM.

Hot FM Zoomerz dikenali oleh pendengar dengan pemberian pelbagai barangan eksklusif Hot FM, produk dan sampel daripada pelanggan serta melakukan interaksi dengan pendengar di lokasi terpilih.

Ia ditubuhkan semula atas permintaan tinggi daripada rakan kongsi dan pelanggan yang menginginkan aktiviti lapangan dilakukan. Terdapat lebih banyak program dan acara yang membabitkan Hot FM Zoomerz akan dijalankan pada masa akan datang.

Hot FM adalah hab hiburan dan informasi menerusi pengisian kandungan menarik, interaksi, penceritaan yang relevan kepada rakyat Malaysia, di samping gelak tawa menghiburkan serta memainkan muzik hangat dan terbaik.

Hot FM menyasarkan pendengar berusia 18 hingga 39 tahun bagi sasaran lebih luas, manakala lebih memberi fokus sasaran kepada pendengar berusia 24 hingga 34 tahun.

Hot FM boleh didengari menerusi frekuensi 97.6FM di Lembah Klang, 88.2FM Alor Setar dan Pulau Pinang; 104.5FM Ipoh; 90.1FM Johor Bahru dan Singapura; 92.4FM Kuantan; 105.1FM Kota Bharu; 87.7FM Kota Kinabalu; 94.3FM Kuching; 104.3FM Melaka; 99.5FM Seremban; 90.5FM Taping; 105.0 Kuala Terengganu.

Secara alternatif, pendengar boleh mendengar Hot FM secara live streaming di www.hotfm.audio dan YouTube Hot TV.

Untuk perkembangan dan pengisian digital paling hangat, boleh terus ikuti laman sosial Hot FM di Facebook Hot FM, Instagram @hotfm976, Twitter @hotfm976 dan Whatsapp 017-302 8822.

Hot FM juga boleh didengar menerusi aplikasi Audio+ yang boleh dimuat turun menerusi Apple App Store, Google Play dan Huawei App Gallery.

BHOnline

Leave a Reply