Gap Year untuk tangguh pengajian

 

Mahasiswa USIM muncul kumpulan pertama perintis program Gap Year pada 2017.

Rohana Man



TAHUKAH anda? Program Gap Year yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (kini Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 2017 membolehkan pelajar berehat daripada pengajian bagi menerokai pengalaman hidup baharu sama ada melalui pekerjaan, pengembaraan atau penglibatan menerusi program kesukarelawan dan khidmat masyarakat.

 

Menteri Pendidikan Tinggi ketika itu, Datuk Seri Idris Jusof berkata, program tersebut membenarkan pelajar mengambil ‘cuti’ selama setahun daripada tempoh pengajian untuk bekerja dalam bidang diminati atau menjalankan aktiviti kesukarelawan.

 



Menurutnya, program itu telah dilaksanakan di beberapa negara maju bertujuan memberi peluang kepada pelajar menyertai bidang kesukarelawan, selain berbakti kepada masyarakat dan menimba pengalaman.

 

Terdapat tiga bentuk program Gap Year iaitu Gap Year Khidmat Negara, Gap Year Sukarelawan dan Gap Year Umum.

 



Gap Year Khidmat Negara. – Menempatkan pelajar yang berminat menyertai badan beruniform iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

 

Pelajar boleh memilih untuk berkhidmat sebagai sukarelawan di mana-mana agensi tersebut selama tempoh satu tahun akademik.

 



Gap Year Sukarelawan: Membenarkan pelajar melaksanakan aktiviti kesukarelawan selama satu semester hingga satu tahun akademik mengikut program yang ditawarkan bersama agensi terlibat seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan Islamic Relief Malaysia (IRM); Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

 

Selain itu, pelajar boleh memilih program-program yang disediakan dalam jangkamasa lebih pendek iaitu semasa cuti semester dengan melaksanakan program summer volunteerism.

 



Gap Year Umum – Terbuka kepada pelajar yang ingin melibatkan diri dalam program sukarelawan umum seperti kesukanan, keusahawanan, meningkatkan kemahiran, pelancongan dan lain-lain aktiviti.

 

Aktiviti yang dirancang perlu mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan universiti masing-masing.

 



Tempoh minimum program adalah satu semester dan tempoh maksimum adalah satu tahun kalendar akademik.

 

Program ini tidak mempunyai struktur spesifik seperti program Gap Year Khidmat Negara atau Gap Year Kesukarelawanan.

 

Tiada paksaan untuk pelajar menyertai program Gap Year dan pelajar bebas memilih program bermanfaat yang dapat menambah nilai kemahiran.

 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam Sidang Dewan Rakyat di Parlimen semalam memberitahu inisiatif KPT menangani masalah pelajar tercicir akibat pandemik COVID-19.

 

Menurutnya, pelajar yang tidak dapat menamatkkan pengajian atau tercicir akibat pandemik COVID-19 boleh memohon untuk menyambung semula pengajian melalui UPUOnline.

 

Carian maklumat menunjukkan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi kumpulan perintis pelajar universiti awam pertama menyertai program Gap Year pada 12 September 2017.

 

Sebanyak enam pelajar USIM yang memohon untuk menyertai program Gap Year dibenarkan menangguhkan pengajian selama setahun. Kesemua mereka terlibat dengan badan bukan kerajaan IRM.

 

Naib Canselor USIM ketika itu, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, pelajar USIM yang memilih Gap Year Kesukarelawan itu terlibat dengan pelbagai projek yang telah disusun bersama IRM di pelbagai lokasi, antaranya Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

 

“Projek yang telah diatur untuk mereka meliputi pelbagai kumpulan sasar seperti Orang Asli, nelayan, petani, gelandangan, masyarakat umum, fakir miskin dan mualaf,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button