UMP pergiat teroka teknologi berimpak tinggi

 

DR. YUSERRIE ZAINUDDIN

Oleh Azrin Muhammad



KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Pahang (UMP) membuat penjajaran semula inisiatif pemerkasaan penyelidikan, inovasi industri dan pengkomersialan menerusi Objektif Strategik 2 dan 3 di bawah Pelan Strategik UMP 2021-2025.

 

Menurut Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin, UMP akan menyediakan latihan kepada industri menggunakan kepakaran dan teknologi yang dimiliki UMP termasuk menjalin kolaborasi dengan industri bagi meningkatkan keupayaan teknikal.

 



“Inisiatif ini akan dilaksanakan melalui tadbir urus geran dan penawaran dana serta geran-geran baharu yang berimpak tinggi dengan objektif khusus seperti menghasilkan idea-idea baharu dan mengadaptasi transformasi digital menerusi Revolusi Industri 4.0.

 

“Sebanyak 20 Geran Pembangunan Produk telah diwujudkan untuk menghasilkan prototaip atau produk yang mampu berfungsi dengan menggabung jalin kepakaran penyelidik dalaman dan komponen sedia ada di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

 



Tambahnya, UMP juga setakat ini telah terbukti mendapat kepercayaan daripada pihak industri swasta untuk berkolaborasi apabila menerima dana sebanyak RM1.5 juta iaitu peningkatan sebanyak 77 peratus berbanding tahun 2020 iaitu sebanyak RM360,000.

 

Dalam masa sama, Yuserrie memberitahu pihaknya menyasarkan lebih banyak pengkomersialan produk dan perkhidmatan teknikal melalui penubuhan syarikat keusahawanan staf akademik untuk memasarkan produk buatan UMP (Teknousahawan) serta menawarkan perkhidmatan kepakaran kepada industri.

 



“Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) memainkan peranan penting dalam kejayaan jangka panjang sesebuah universiti dan ia boleh diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi masing-masing.

 

“Kerajaan juga tidak ketinggalan turut serta mempromosikan strategi pertumbuhan dan aktiviti R&D yang dapat menjana nilai ilmu dan ekonomi agar negara terus berdaya saing dalam ekonomi dunia,” ujarnya.

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button