Tengku Adnan Ingatkan Rakyat Waspada Fitnah Burukkan UMNO/BN

PUTRAJAYA – Rakyat khususnya pengundi diminta untuk berhati-hati dalam mendepani pembangkang yang kini kembali aktif dengan pelbagai manipulasi dan fitnah-fitnah bagi memburukkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Demikian tegas Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkaitan situasi terkini dalam arena politik negara.

Katanya, sekarang ini musim Pilihan Raya Umum (PRU) makin dekat dan mereka telah kembali dengan macam-macam cerita bagi memburukkan kepimpinan dalam UMNO/BN.



“Sekarang nak dekat pilihan raya maka janganlah fitnah yang bukan-bukan untuk dijadikan bahan bagi meraih undi nanti. Hati-hati terhadap fitnah mereka.

“Mereka ini datang kawasan kita, nak jadi wakil rakyat, mereka nak kacau kawasan kita bila nak dekat pilihan raya sedangkan mereka tak pernah pun turun kawasan atau ambil tahu hal rakyat sebelum ini.

“Bila dah pangkah, orang lain jadi wakil rakyat selepas menang tapi tak endahkan rakyat. Itu yang berlaku dan mereka ini tak peduli apa yang berlaku dalam kawasan,” katanya kepada khalayak ketika berucap dalam Program Penyampaian Kad Kesihatan Klinik Rakyat KuNan yang diadakan, di sini, semalam.

Tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Ketua UMNO bahagian tempatan, bukti nyata apabila kerajaan 22 bulan mentadbir namun tidak ada apa-apa yang dilakukan malah sebaliknya.



“Bila mereka dapat kerajaan 22 bulan, apa yang mereka lakukan? Untuk penjawat awam, pekerja-pekerja kontrak diberhentikan, institusi-institusi kerajaan dirobek yang antaranya KEMAS dan macam-macam lagi. Mereka dulu burukkan penjawat awam macam-macam, malah mereka tak pandang kepada anggota keselamatan, jururawat, polis, askar dan macam-macam lagi.

“Jadi macam mana kita nak berikan kepercayaan kepada mereka lagi sedangkan mereka dah mengkhianati kita. Janji boleh janji tapi sampai sekarang tak ada apa.

“Jangan kita terbuai dengan janji-janji mereka sedangkan mereka tak pernah muncul untuk cuba ringankan beban atau bantu rakyat.”

Sehubungan itu beliau meminta semua pihak agar tidak lupa dengan tingkah mereka yang pernah menipu rakyat.



“Maka saya minta semua maklumkanlah pada anak-anak kita termasuklah pengundi kali pertama, beritahulah mereka apa yang UMNO/BN telah lakukan. Memang UMNO sekarang ini bersama dengan Perikatan Nasional (PN) mentadbir kerajaan tapi untuk pilihan raya kita akan bertanding dalam BN.

“Saya tak kata kita semuanya baik kerana saya akui dalam BN pun tak sempurna. BN/UMNO nak jaga anak bangsa malah melalui pendidikan kita berikan kepada anak-anak kita untuk membina negara pada masa hadapan,” katanya lagi.

Menerusi program berkaitan Tengku Adnan telah mengagihkan kad kesihatan Klinik Rakyat KuNan yang beliau tubuhkan dengan diusahakan oleh anak-anak beliau sendiri bagi memberi rawatan percuma kepada masayarakat Putrajaya.

“Saya mengikuti khidmat dan perkembangan kesihatan di sini. Saya tahu kalau di klinik kerajaan menunggu berjam-jam maka saya laksanakan untuk kemudahan orang ramai dan saya gerakkan anak-anak saya untuk Klinik Rakyat KuNan bagi memberi khidmat.”



Terdahulu beliau menyusur laluannya dalam keutamaan memberikan keselesaan kepada rakyat menerusi perkhidmatan kesihatan yang antaranya ialah mewujudkan pusat bersalin berisiko rendah di Putrajaya selain pemberian kad kesihatan yang telah diwujudkan lebih awal.

UMNO Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button