Harga minyak jatuh bawah AS$100 setong, ringgit susut



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini dalam persekitaran sentimen bercampur-campur serta penyusutan harga minyak mentah ke paras bawah AS$100 setong, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.4555/4590 berbanding dolar AS daripada paras 4.4548/4589 pada akhir urus niaga semalam.

Setakat pagi ini, minyak penanda aras global Brent susut 0.20 peratus kepada AS$96.12 setong.

Menurut penganalisis itu, ringgit dijangka terus berdepan tekanan susulan kebimbangan pertumbuhan global, persekitaran kewangan lebih ketat serta langkah Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenaikan kadar faedah.



Selain itu, MIDF Research menerusi nota tinjauannya hari ini berkata, ringgit kekal dinilai lebih rendah berdasarkan kadar pertukaran efektif sebenar dan sebaliknya berkemungkinan mengukuh ke paras RM4.25 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini.

“Memandangkan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dijangka bertindak memperlahankan langkah memperketat dasar menjelang akhir tahun, kami berpendapat bahawa sokongan terhadap dolar AS akan terus berkurangan.

“Berikutan itu, pergerakan dalam pasaran kewangan tidak banyak memberi kesan terhadap pasaran mata wang negara sedang pesat membangun,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama.



Ringgit misalnya naik berbanding yen Jepun kepada 3.2957/2986 daripada 3.2976/3022 pada Selasa dan meningkat berbanding euro kepada 4.5482/5517 daripada 4.5610/5677, semalam.

Unit tempatan itu turut meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2303/2333 daripada 3.2352/2383 serta mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3773/3816 daripada 5.3969/4005, semalam.

-BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker