Kemasukan pekerja Indonesia sudah bermula

KUALA LUMPUR: Kemasukan pekerja Indonesia ke Malaysia sudah bermula secara berperingkat selepas negara jiran itu memutuskan untuk menarik balik sekatan penghantaran pekerjanya ke negara ini, berkuat kuasa 1 Ogos lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata kumpulan pertama pekerja Indonesia sudah berada di Malaysia, manakala dokumen membabitkan 23,000 lagi pekerja dari negara itu sedang diproses oleh pihak berkuasa negara ini.

“Pekerja sudah mula masuk. Kumpulan pertama telah pun berada di sini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan mynext, usaha memperkasakan bakat-bakat tempatan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp).



Pada 13 Julai lalu, Indonesia mengumumkan keputusan untuk membekukan sementara kemasukan pekerja negara itu ke Malaysia kerana tidak menggunakan sistem tunggal seperti yang dipersetujui sebelum ini.

Bagaimanapun, kedua-dua negara bersetuju mengintegrasikan sistem sedia ada bagi pengambilan pekerja domestik antara Jabatan Imigresen Malaysia dan kedutaan Indonesia di sini.

Sementara itu, mengenai tenaga kerja Malaysia, Saravanan berkata isunya bukan pengangguran tetapi penempatan pekerjaan yang tidak sepadan.

“Walaupun kami mendapatkan mereka (siswazah) kerja, mereka tidak diberi pekerjaan dalam bidang pengajian mereka,” katanya.



BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button