Atletico sedia lepas Griezmann, Morata ke Old Trafford



MADRID: Atletico Madrid sedia menawarkan Antoine Griezmann atau Alvaro Morata

kepada Manchester United sebagai pertukaran untuk Cristiano Ronaldo.

Kelab La Liga itu masih berminat mendapatkan bekas penyerang Real Madrid berkenaan walaupun terdapat bantahan daripada penyokong pada awal musim panas ini.

Ronaldo, 37, didakwa kagum dengan kesungguhan pengendali Atletico, Diego Simeone yang mahu dia menyertai mereka.



Malah Atletico dikatakan bersedia melepaskan penyerang mereka bagi memastikan perpindahan Ronaldo ke Stadium Metropolitano.

Bekas penyerang Chelsea, Morata atau bintang Perancis, Griezmann ditawarkan kepada skuad kendalian Erik ten Hag sebagai pertukaran untuk Ronaldo.

Ten Hag sebelum ini masih berminat untuk bekerjasama dengan Ronaldo, tetapi selepas melihat sikap sebenar pemenang lima kali Ballon d’Or itu, dia dikatakan semakin kecewa.

Ronaldo tidak mengikuti jelajah pra-musim United atas alasan keluarga, dan meninggalkan pasukan sebelum tamat aksi persahabatan menentang Rayo Vallecano.



Ten Hag, 52, memasukkan Ronaldo sebagai pemain gantian ketika perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Brighton, sebelum menyenaraikannya dalam kesebelasan utama menentang Brentford.

Bintang-bintang United juga dikatakan percaya suasana dalam bilik persalinan lebih harmoni jika Ronaldo, yang terdesak mahu mencari kelab baharu, dilepaskan.

Morata, 29, menghabiskan musim lalu sebagai pemain pinjaman di Juventus dan dia meledak 12 kali dalam 48 perlawanan.

Dia bermula cemerlang bersama Atletico musim ini apabila menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Getafe.



Griezmann, 31, masuk sebagai pemain gantian dan meledak gol ketiga pasukannya.

United turut dikaitkan dengan seorang lagi penyerang Atletico, Matheus Cunha, 23, yang meledak enam gol dalam 29 penampilan La Liga musim lalu.

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker