RM7.16 juta untuk 16 anak Terengganu ke UK, Jordan

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM7.16 juta kepada 16 anak Terengganu yang cemerlang untuk menyambung pengajian peringkat Ijazah Pertama ke United Kingdom (UK) dan Jordan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia membabitkan empat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 yang baharu sahaja menamatkan pengajian A-Level dan akan menyambung pengajian ke UK manakala selebihnya adalah pelajar lepasan SPM 2021 yang akan ke Jordan membabitkan tempoh pengajian antara tiga hingga lima tahun.

Menurutnya, kesemua pelajar yang juga penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang (SPC) itu dijadualkan berangkat ke UK dan Jordan pada pertengahan September ini.



“Mereka ini akan menyambung pengajian pelbagai bidang seperti perubatan, biokimia, bioperubatan, perbankan Islam dan Qiraat (dan tajaan) ini adalah salah satu usaha kerajaan negeri untuk mengiktiraf kecemerlangan yang ditunjukkan oleh anak-anak Terengganu dalam peperiksaan SPM dan STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia) yang lalu.

“Selain di UK dan Jordan, kita berbangga dengan sebahagian lagi anak-anak Terengganu cemerlang yang ditaja oleh kerajaan negeri kini berada di Mesir, Ireland, Jepun, Korea dan Australia.

“Besar harapan kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu (YT) khasnya untuk melihat mereka ini pulang membawa kejayaan sebaik tamat pengajian kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri Dan Bantuan Persediaan Penerima Biasiswa SPC Luar Negara Tahun 2022 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.



Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri melalui kolaborasi antara YT dan Terengganu Inc (TI) juga bersetuju menubuhkan Tabung Biasiswa YT-TI bagi menaja pelajar cemerlang lepasan SPM/STPM serta lepasan asasi/matrikulasi dalam pelbagai bidang peringkat Ijazah Pertama.

Katanya, sebagai permulaan pada tahun ini, TI bersama anak-anak syarikat akan menyumbang sebanyak RM500,000 kepada tabung berkenaan dengan tajaan akan diberikan kepada bidang-bidang tertentu.

Sejak Tabung Biasiswa SPC Negeri Terengganu dilancarkan pada 2019, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5 juta setahun untuk membiayai pengajian anak-anak Terengganu yang cemerlang bagi meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Pertama sama ada dalam dan luar negara.

Sehingga kini, seramai 601 pelajar cemerlang lepasan SPM, asasi/matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan STAM menerima skim biasiswa itu bagi mengikuti pengajian peringkat persediaan dan ijazah pertama dalam pelbagai bidang.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button