Arul mengetahui bahawa Kaunsel Maybank ketika itu adalah Nazlan



KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, memberitahu Mahkamah Tinggi hari Ini, beliau tidak mengetahui secara langsung mengenai pembabitan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam pemberian pinjaman RM4.1 bilion oleh Maybank kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mohd Nazlan ialah Hakim Makamah Tinggi yang mendapati Datuk Seri Najib Razak bersalah terhadap tujuh tuduhan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan memerintahkan bekas perdana menteri itu dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

Arul Kanda yang memberikan keterangan selaku saksi pendakwaan, berkata demikian ketika diperiksa semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan kes pindaan laporan akhir pengauditan 1MDB dihadapinya (Arul Kanda) dan Najib.

Soalan Sri Ram itu berbangkit daripada soalan balas oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung pembabitan Mohd Nazlan berkaitan pembiayaan berkenaan.



Terdahulu, ketika disoal Muhammad Shafee, Arul Kanda, berkata beliau mengetahui bahawa Kaunsel Kumpulan Maybank ketika itu adalah Mohd Nazlan, bagaimanapun tidak pernah menghubungi atau bertemu dengannya.

Saksi itu menjelaskan, sepanjang berkhidmat dalam 1MDB, beliau hanya berurusan dengan peguam bank itu, Dalvin Kaur yang hanya dikenali sebagai Molly dan urusan pinjaman pula membabitkan Michael Oh-Lau daripada Bahagian Pinjaman Komersial.

Pada 15 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti tambahan membabitkan Mohd Nazlan Mohd Ghazali (Hakim Mahkamah Rayuan) menerusi rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati tiada kaitan antara jawatan Mohd Nazlan sebelum ini sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank yang boleh menyebabkan berat sebelah terhadap perayu.



BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker