Seorang maut, empat cedera kereta terhumban ke laut



Kangar: Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jitra maut, empat yang lain termasuk dua pelajar sekolah pondok di Sungai Korok, Jitra, cedera, selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar benteng batu pemecah ombak dan masuk ke laut di Kuala Perlis, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, kejadian kira-kira 11 malam di Kilometer (KM) 10, Jalan Persisiran Pantai Kuala Perlis-Kuala Sanglang, Simpang Empat, Kuala Perlis, di sini.

Ketika kejadian, Proton Iswara dipandu oleh mangsa, Muhammad Mustaffa Sarin, 22, dalam perjalanan dari kawasan rumah mereka di Jitra, Kedah menuju ke Kuala Perlis.

“Tiba lokasi kejadian, kereta itu hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar benteng batu pemecah ombak sebelum masuk ke laut.



“Impak daripada rempuhan itu menyebabkan seorang lagi mangsa yang juga sebagai penumpang hadapan dikenali sebagai Ahmad Baihaqi Mahamad Shafie, 25, tercampak keluar dari kereta itu dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Katanya, empat mangsa lain yang cedera adalah pemandu kereta Muhammad Mustaffa Sarin, 22, dari Kampung Padang Chenderai, Kuala Nerang.

Tiga lagi penumpang yang dikenali sebagai Muhammad Syairozi Abdul Karim, 24, dari Kampung Sungai Padang, Sanglang dan dua pelajar Pondok Mat Rejab, Pida 2, Sungai Korok, Jitra yang dikenali sebagai Muhammad Khuzaini Mohd Sobri, 17 dan Zulkifli Abd Razak, 20.

“Muhammad Mustaffa mengalami patah tangan kanan, manakala mangsa lain yang terselamat mengalami kecederaan di bahu dan tangan,” katanya.



Yusharifuddin berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, untuk proses bedah siasat.

“Mangsa yang lain pula dirawat sebagai pesakit luar di hospital berkenaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

METRO





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker