450 pelajar IPT mula terima peranti



Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Annuar Musa bergambar bersama pelajar yang menerima peranti tablet menerusi program PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, baru-baru ini.

 

Oleh Azrin Muhammad

SHAH ALAM – Seramai 450 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang membuat permohonan menerusi program PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi fasa pertama telah menerima tablet masing-masing.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, penyerahan berkenaan menjadi inisiatif bermanfaat dan disebar luas merangkumi 1.6 juta pelajar di lebih 600 IPT seluruh negara.



“KPT secara konsisten akan terus memperkukuh agenda pendigitalan pendidikan yang lebih holistik melalui pemerkasaan infrastruktur, kelengkapan bilik kuliah, pengukuhan kurikulum dan sebagainya.

“Sebagai rancangan jangka panjang, KPT akan menjadikan aspek keperluan peranti sebagai salah satu daripada fokus dalam Pelan Pendigitalan Pendidikan Tinggi Negara,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia, baru-baru ini.

Acara yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum menyempurnakan upacara penyerahan tablet kepada setiap pelajar yang layak.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.



Tambah Noraini, inisiatif pemberian tablet berkenaan akan diteruskan sehingga memberi manfaat kepada 350,000 penerima sepertimana yang disasarkan kerajaan sebelum ini.

Dalam masa sama, Noraini turut menyeru para pelajar yang masih lagi belum membuat permohonan untuk mengambil peluang sehingga 30 September ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, penyerahan berkenaan bertujuan menghargai penerima dalam kalangan pelajar yang datang daripada keluarga B40 serta pemangkin agar mereka meraih keputusan cemerlang.

‚ÄúSelain itu, kerajaan juga menerusi program ini sedang berusaha memastikan lebih ramai golongan pelajar dan remaja memperoleh akses internet untuk pembelajaran secara atas talian dari rumah tanpa kekangan data,” katanya.





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker