Najib terima rawatan sama seperti banduan lain, kata Khairy

 

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) seperti mana prosedur operasi standard (SOP) bagi banduan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya tidak menafikan rawatan perubatan kepada semua banduan di mana-mana penjara dan pusat tahanan termasuk bekas Perdana Menteri itu.



Malah, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan rawatan terbaik kepada semua banduan dan bukan sahaja Najib kerana ia merangkumi semua banduan.

“Tuduhan mengatakan ubat tekanan darah untuk Najib ditukar adalah isu yang tidak menggambarkan perkara sebenar kerana ia adalah ubat jenis generik iaitu ubat yang sama cuma jenama yang berbeza.

“Sebelum ini, Najib mendapatkan ubat beliau dari hospital swasta tetapi apabila menjadi banduan, seseorang banduan akan dirujuk ke hospital kerajaan dan ubat yang diberi formula yang sama seperti panadol dan paracetamol,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penerimaan Anugerah Msia Book of Record & Pelancaran Laporan Record Breaking Covid-19 Vaccination: Public-Private Partnership.



Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata, Najib dihantar semula ke Penjara Kajang Sabtu lalu, selepas semua pakar di HKL mendapati keadaan bekas Perdana Menteri itu dalam keadaan memuaskan.

Katanya, tiada sebab untuk Najib perlu berada di HKL pada hari Ahad selepas keadaannya memuaskan kerana lebih seorang pakar mengesahkan keadaannya stabil.

“Hari ini, Najib dihantar semula ke HKL bagi menjalani pemeriksaan bagi melengkapkan laporan kesihatannya manakala Ketua Perkhidmatan Gastroenterology KKM, Dr Rosaida Md Said adalah pakar yang merawat beliau.

“Saya juga sudah maklumkan kepada Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Asmayani Khalib supaya melakukan pemeriksaan ke atas Najib supaya tiada lagi pertikaian,” katanya.



Beliau berkata, sebanyak dua kali pertemuan bersama keluarga Najib sudah dilakukan bagi menjelaskan perkara ini.

“Apabila isu ini timbul, saya sendiri menghubungi Pengarah HKL, Datin Paduka Dr. Rohana Johan dan beliau memaklumkan keadaan Najib stabil,” katanya.

Media semalam melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan mengesahkan ubat yang diberikan kepada Najib adalah jenis sama dan dalam senarai ubatan kementerian.

Bekas Perdana Menteri itu juga berada dalam keadaan sihat sebelum dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan pada 9 September lalu.



Kenyataan itu susulan, Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi memaklumkan, tekanan darah Najib dilapor berada pada tahap tinggi dan berbahaya susulan penukaran ubat yang diberikan untuk merawat masalah ulser di dalam perutnya.

© Utusan Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button