Dokumen siasatan berkaitan suami Tan Sri Zeti perlu melalui MLA dahulu

Dokumen dan keterangan yang diperlukan untuk kes siasatan berkaitan 1MDB itu sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

KUALA LUMPUR – Dokumen dan keterangan yang diperlukan membabitkan kes siasatan berkaitan 1Malaysian Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan suami bekas Gabenor Bank Negara, Datuk Dr. Tawfiq Ayman telah dikenal pasti.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dokumen yang diperolehi di Singapura itu sah di sisi undang-undang Malaysia dan ia perlu melalui proses bantuan hukum timbal balik (MLA).

“Pada April lalu, PDRM (Polis Diraja Malaysia) telah pun mengemukakan permohonan di bawah MLA melalui Jabatan Peguam Negara kepada pihak berkuasa Singapura bagi tujuan tersebut,” katanya selepas Majlis Pelantikan Duta Anti Scam di Maktab Polis Kuala Lumpur di Cheras petang tadi.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md. Din menegaskan, pihaknya sudah mengenal pasti dokumen dan keterangan yang diperlukan untuk siasatan polis terhadap Tawfiq.



Ujar beliau, pasukan penyiasat PDRM sudah mengadakan perbincangan dengan pihak Commercial Affair Department (CAD) Singapura pada 29 hingga 31 Mac lalu.

Tawfiq yang juga suami Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz disiasat susulan dakwaan menerima dana berkaitan 1Malaysian Development Berhad (1MDB) namun beliau menerusi firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co menjelaskan tidak pernah menerima sebarang bentuk rasuah daripada sesiapa.

Menurut Tawfiq, beliau tidak mengenali individu bernama Tim Leissner atau Roger Ng jauh sekali bertemu dan berkomunikasi dengan mereka.

Kenyataan itu dibuat selepas keterangan Leissner yang juga bekas pengerusi syarikat perbankan, Goldman Sachs pada prosiding perbicaraan terhadap bekas pegawai bawahannya, Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn, New York awal tahun ini.



Dalam perbicaraan tersebut, Leissner dilaporkan menyebut kegiatan rasuah membabitkan Tawfiq mengenai projek usaha sama PetroSaudi-1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada masa yang sama, SPRM dalam laporannya turut mendedahkan sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB diambil semula dari Singapura yang disimpan syarikat milik Tawfiq.

Siasatan ke atas Tawfiq dikendalikan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan polis telah mengambil keterangan daripada Tawfiq dan seorang anaknya pada April tahun lalu.

© Malaysia Gazette 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button