Son tamatkan kemarau jaringan dengan hatrik

LONDON: Son Heung-min berkata dia tidak pernah meragui keupayaannya bagi menamatkan kemarau jaringan apabila bintang Korea Selatan itu membalas dengan meledak hatrik dalam tempoh 13 minit ketika Tottenham menang 6-2 mengatasi Leicester awal pagi tadi.

Son masuk dari bangku simpanan untuk meledak tiga gol terakhir Tottenham, termasuk dua gol dari jarak jauh ketika kemenangan besar yang membawa mereka ke kedudukan kedua Liga Perdana.

Ia adalah balasan terbaik daripada Son selepas dia diketepikan kerana gagal meledak dalam lapan aksi sebelum ini.



Hanya sehari selepas bos Tottenham, Antonio Conte memberi amaran bahawa tiada pemain tidak boleh diketepikan, Dejan Kulusevski masuk menggantikan Son yang juga penjaring bersama terbanyak liga musim lalu.

Tiga gol dijaringkan pemain berusia 30 tahun itu menunjukkan dia tidak terkesan apabila Conte merehatkannya daripada barisan serangan.

“Penyudah saya tumpul musim ini. Saya juga kurang bernasib baik,” kata Son.

“Saya sangat kecewa, tapi saya tahu gol akan datang dan saya tidak bimbang mengenainya. Saya sentiasa bekerja keras dan mahu membantu pasukan.



“Saya sentiasa ada penyokong di belakang dan ia sesuatu yang hebat. Ini membuatkan saya sentiasa percaya dan menjadikan saya kuat dalam tempoh yang sukar ini. Secara jujur ia membuatkan saya emosi, dengan sokongan yang menakjubkan itu.”

Ia malam yang sempurna buat Tottenham, yang bangkit selepas tewas pertama kali dalam lapan aksi musim ini awal pagi Rabu lalu selepas Sporting Lisbon meledak dua kali bagi memastikan kemenangan 2-0 dalam Liga Juara-Juara.

Kemenangan kelima Tottenham dalam tujuh aksi liga membawa mereka di atas Arsenal dan sama mata dengan pendahulu, Manchester City.

Sementara itu kekalahan keenam berturut-turut Leicester yang berada di dasar liga akan memberikan tekanan tambahan buat bos, Brendan Rodgers.



“Ia memang permulaan yang amat sukar. Ia tanggungjawab saya. Apa sahaja yang berlaku kepada saya di Leicester, sama ada saya kekal dan terus bertarung, saya sentiasa akan menghormati mereka,” kata Rodgers. – AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button