Remaja perempuan 17 tahun hilang

Oleh – Syeikh Baran


Remaja perempuan 17 tahun hilang
J Nisha, dilaporkan hilang dan kali terakhir dilihat memasuki kawasan SMK Paloh, Kluang, Johor oleh ibunya, jam 6.30 pagi semalam. – Foto ihsan PDRM

Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dilaporkan hilang selepas gagal ditemui ketika ibunya mahu menjemput mangsa pulang dari sekolah di Paloh, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata remaja berkenaan yang dilaporkan sebagai Orang Hilang, J Nisha, kali terakhir dilihat memasuki kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Paloh, oleh ibunya, kira-kira jam 6.30 pagi.



Katanya, ibu mangsa, 42, percaya anaknya itu telah keluar semula dari kawasan sekolah setelah dia beredar dengan menunggang motosikal.

“Pada jam 2.30 petang semalam, ketika mahu menjemput Nisha, ibunya sedar dia masih belum keluar dari kawasan sekolah.

“Ibunya telah bertanyakan kepada guru kelas berkaitan anaknya dan guru kelas memaklumkan yang dia tidak masuk ke kelas,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Bahrin berkata, siasatan mendapati tiada sebarang masalah dan selisih faham dalam keluarga yang berlaku sebelum mangsa hilang.



“Mangsa tidak pernah keluar rumah dan tidak pernah mendatangkan masalah dalam keluarga,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa memakai baju seragam sekolah baju kurung putih, kain biru muda, kasut sekolah dan beg sekolah warna hitam.

“Keluarga tidak pasti mangsa ke mana pergi dan dengan siapa. Tiada saksi yang melihat kejadian mangsa keluar dari sekolah. Siasatan masih diteruskan mengikut Kertas Enkuiri Polis Orang Hilang,” katanya.

Sumber – Berita Harian




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading