Kenaikan tepat saat rakyat berdepan kos sara hidup

Oleh – Syeikh Baran


Kenaikan tepat saat rakyat berdepan kos sara hidup
Sebahagian penjawat awam melafazkan ikrar pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya semalam. Foto oleh FAISOL MUSTAFA

Pengumuman kenaikan gaji penjawat awam yang dibuat Perdana Menteri sempena Hari Pekerja semalam merupakan khabar gembira yang paling ditunggu-tunggu golongan itu sejak lebih sedekad lalu.

Rata-rata mereka gembira dengan kenaikan lebih 13 peratus bermula Disember ini iaitu ter­tinggi dalam sejarah.



Di George Town, Juruterapi Pergigian di Kementerian Kesihatan, Nur Juliana Abdul Mutalib, 42, berkata, pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tepat pada masanya memandangkan rakyat kini berdepan dengan kos sara yang semakin meningkat.

“Sedikit sebanyak gaji baharu yang akan dinikmati kakitangan awam kelak akan meringankan beban terutama bagi saya yang mempunyai lima anak.

“Kali terakhir kami menikmati kenaikan gaji 12 tahun lalu tidak termasuk bonus tahunan,” kata­nya kepada Kosmo! semalam.

Bagi guru, Azizi Samsudain, 32, pengumuman kenaikan gaji yang dibuat semalam memberikan motivasi buatnya untuk memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan bermutu tinggi dalam bidag pendidikan.



“Alhamdullah, memang rasa lega sebab sudah lama kami (penjawat awam) tunggu berita ini dan ia akan direalisasikan pada hujung tahun ini,” katanya.
Semalam Anwar menerusi amanat pada Sambutan Hari Pekerja 2024 memaklumkan penjawat awam di negara ini bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus pada Disember ini.

Di Johor Bahru, Leftenan Komander Maritim (M), Mohd. Hafizuddin Mohd. Jalal berkata, ganjaran gaji itu merupakan satu penghargaan terutama buat angota ke­selamatan sepertinya.

“Terima kasih Perdana Menteri kerana menghargai tugas dan pengorbanan kami,” katanya.

Bagi anggota polis, Konstabel Mohammad Saifulnizam, pengumuman tersebut dianggap satu suntikan semangat buatnya untuk berkhidmat kepada negara dengan penuh rasa tanggungjawab dan berintegriti.



“Keamanan dan keselamatan yang dikecapi selama ini hasil usaha semua termasuk anggota keselamatan yang bekerja tanpa kenal penat lelah. Jadi rasa berbaloi dan dihargai,” katanya.

Di Kota Bharu, rata-rata penjawat di Kelantan turut meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman tersebut.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Rhu, Alias Che Deraman, 43, berkata, pengumuman yang melegakan penjawat awam itu adalah hadiah paling bermakna pada hari pekerja.

“Sudah tentu kenaikan gaji itu akan bergerak seiring dengan mutu kerja dan keadaan ekonomi semasa,” katanya.



Sementara itu, Ketua Pembantu Tadbir SK Cherang Ruku, Norma Muhammad, kenaikan gaji itu merupakan salah satu usaha bagi mengurangkan jurang gaji antara kakitangan sokongan dan kumpulan tertinggi.

“Paling utama dapat mening­katkan produktiviti kerja kami setimpal kenaikan gaji yang diberikan,” ujarnya.

Di Kuala Terengganu, pembantu tadbir, Nor Sharmilla Azahar, 38, berkata, berita gembira itu amat bererti buat penjawat awam gred rendah sepertinya.

“Sebelum ini bukan saya tidak bersyukur, tetapi sebahagian besar gaji digunakan untuk melangsaikan hutang seperti sewa rumah, pinjaman kereta, bil utiliti dan yuran taska anak.



“Saya terpaksa berjimat-cermat. Selepas ini lebihan gaji boleh disimpan bagi kegunaan pendidikan anak-anak dan waktu kecemasan,” jelasnya.

Pemandu, Mohd. Zahari De­rahman, 43, berkata, kenaikan gaji pada Disember ini memboleh­kan dia memberi keselesaan buat isteri serta empat anaknya.

“Buat masa ini bagi menampung keluarga, saya terpaksa membuat kerja sampingan sebagai pemandu e-hailing pada se­belah malam, hujung minggu dan cuti am,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading