Mungkinkah tahu tarikh PRU hari ini?

PUTRAJAYA: Persoalan bila Parlimen akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mungkin diketahui dalam tempoh terdekat.

Ia susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Isnin lalu yang memaklumkan beliau berkemungkinan membawa cadangan tarikh pilihan raya umum dalam Mesyuarat Kabinet hari ini, sebelum beliau berlepas menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA).

Ia selaras dengan peruntukan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali seperti diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.



Perdana Menteri sebelum ini diasak pelbagai pihak untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU-15 dijalankan selepas dua kali perubahan Kerajaan berlaku sejak PRU sebelum ini yang menyaksikan tiada parti politik memperoleh kerusi dua pertiga di Dewan Rakyat.

Isnin lalu, Ismail Sabri apabila diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pilihan raya mungkin boleh dijalankan jika beliau terus gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik, memaklumkan berkemungkinan membawa perkara itu ke Mesyuarat Kabinet hari ini untuk dibincangkan berikutan dalam Jemaah Menterinya juga ada wakil daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Perdana Menteri turut menyatakan beliau akan membawa pendapat semua pihak berhubung bila tarikh PRU patut diadakan

“Kalau Muhyiddin (Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin) kata nak PRU-15 cepat, kita akan bincang dalam mesyuarat Kabinet kerana ada wakil parti dalam Kabinet. Ada wakil BERSATU, GPS dan UMNO,” katanya.



Ismail Sabri juga berkata, beliau sendiri sudah memaklumkan pada Perhimpunan Pemuda Barisan Nasional (BN) bahawa PRU-15 akan diadakan dalam waktu terdekat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan bertegas mengatakan desakan agar PRU15 diadakan segera, bukan kerana beliau takut kepada hukuman bagi kes rasuah yang dihadapinya.

Beliau sebaliknya menyatakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sentiasa konsisten untuk pilihan raya diadakan segera kerana membawa suara ahli parti, selain menghormati mandat rakyat.

Bagaimanapun, parti seperti Parti Amanah Negara (AMANAH) berpendapat PRU pada musim tengkujuh akan menyusahkan orang ramai dan perbelanjaan agensi kerajaan.



Presidennya, Mohamad Sabu, dilaporkan berkata, ia kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengeluarkan dana yang lebih besar untuk menangani pemilihan terutama di kawasan berisiko banjir.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button