USIM tingkat kesedaran CPR guna Q-CaT Kit

(Produk inovasi Q-CaT Kit dapat membantu orang awam melakukan latihan bantuan kecemasan pemulihan kardiopulmonari pernafasan (CPR) dengan berkesan)

 

Oleh Azrin Muhammad



NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya mencipta produk inovasi Q-CaT Kit bagi membantu orang awam melakukan latihan bantuan kecemasan pemulihan kardiopulmonari pernafasan (CPR) dengan berkesan.

Menurut kenyataan USIM baru-baru ini, teknologi berkenaan dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dengan objektif mendidik orang ramai, sekali gus dapat mengurangkan kadar kematian berikutan kegagalan mangsa diberikan CPR segera.

Q-Cat Kit merupakan sebuah manikin orang dewasa (bahagian dada) yang dilengkapi dengan skrin, maklum balas audio-visual, aplikasi mobil dan juga laman web memberikan pengalaman kepada seseorang untuk mengetahui bagaimana melakukan CPR dengan cara yang lebih praktikal, berkesan dan menarik.

Menurut Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Mohd. Azmank Sahar, idea berkenaan tercetus apabila pasukan yang terlibat menjalankan Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Programme) melibatkan latihan kecemasan dan CPR dalam kalangan pengusaha-pengusaha taska di Negeri Sembilan.



“Program ini memberi idea betapa pentingnya alat bantu mengajar CPR khusus untuk orang awam kerana alat bantu mengajar untuk orang awam pada masa kini adalah terhad dan kurang efektif, mahal dan lebih bertumpu untuk individu-individu terlatih dalam bidang kesihatan.

“Melalui Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), produk ini berjaya dihasilkan dengan inovasi sensor untuk mengenal pasti kedudukan tangan yang tepat serta aplikasi yang dapat membantu bacaan CPR dengan lengkap dan mudah,” katanya.

Tambahnya, Q-CaT Kit telah memenangi pingat emas di Pertandingan International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) 2022 serta berjaya merangkul anugerah emas di Malaysia Technology Expo 2021 dan eCarnival Research & Innovation (eCRI) 2020.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button