RUU merokok diyakini lulus, sidang Dewan Rakyat akan datang

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yakin Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang membawa agenda Generasi Penamat (GEG) kepada tabiat merokok bakal diluluskan dalam Dewan Rakyat pada sidang akan datang.

RUU yang sebelum ini dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen, menurut Khairy bakal mempunyai pindaan selepas ia mengambil kira cadangan dikemukakan ahli jawatankuasa.

Beliau berkata, JPK sudah tiga kali bermesyuarat dan satu lagi mesyuarat akan diadakan minggu depan.



“Secara dasarnya majoriti daripada Ahli Parlimen bersetuju dengan RUU itu. Malah, dalam surat yang ditulis oleh Ketua Pembangkang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sebut bahawa secara keseluruhannya Ahli Parlimen pembangkang daripada Pakatan Harapan (PH) menyokong RUU ini.

“Cuma mereka minta supaya dibuat beberapa pindaan supaya diperjelaskan kuasa penguatkuasa, diperjelaskan soal denda dan sebagainya.

“Saya percaya kebanyakan daripada isu ini sudah diselesaikan dalam JPK,” katanya pada sidang media khas pencapaiannya selama setahun sebagai Menteri, Kesihatan, semalam.

Khairy berkata, beliau akan membawa RUU yang sudah diperkemaskan itu kepada mesyuarat JPK minggu depan untuk dipersetujui.



Beliau berkata, JPK sendiri dianggotai Ahli Parlimen daripada parti politik utama dalam Dewan Rakyat termasuk Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) juga Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

RUU itu yang antara lain bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik kepada individu yang dilahirkan pada 1 Januari 2007 dan seterusnya, disifatkan menghadkan kebebasan memilih oleh beberapa Ahli Parlimen selepas ia dibentangkan pada Julai lalu.

Pada 2 Ogos, Dewan Rakyat bersetuju RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dirujuk ke JPK Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan, ketika usul itu pada peringkat bacaan kedua.

Ditanya mengenai nasib RUU berkenaan ketika banyak cakap-cakap mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) termasuk sidang Parlimen yang mungkin terpaksa disingkatkan, Khairy berkata, Dewan Rakyat terikat dengan usul itu.



Berikutan tu, katanya, ia akan dibawa semula pada sidang akan datang.

“Dalam usul yang saya bawa, usul yang dipersetujui oleh Dewan Rakyat bahawa RUU ini dirujuk kepada JPK dan akan dibawa kepada mesyuarat akan datang. Jadi Dewan terikat dengan usul itu.

“Ia perlu dibawa semula kerana usul itu adalah usul Dewan Rakyat. Saya yang baca usul itu, saya yang tulis usul itu.

“Ia bermaksud, selepas diselesaikan dalam JPK ia mesti dibawa balik kepada sidang yang akan datang,” katanya.



Sementara itu, Khairy berkata, ketika ini Bahagian Penguatkuasaan Farmasi sedang dalam proses meminda Akta Jualan Dadah 1952 (Akta 368) dan ia disasarkan dibawa ke Parlimen pada 2023.

Beliau berkata, melalui pindaan itu, apabila diluluskan kelak, ia akan memperkukuhkan kawalan terhadap ubat dengan meluaskan skop kawalan merangkumi semua aspek dari pengimport atau pengilang sehingga pelupusannya.

“Ia juga akan memastikan penguatkuasaan Akta 368 dan Peraturan-peraturannya dapat dijalankan dengan lebih berkesan melalui punca kuasa yang jelas.

“Pindaan itu juga akan mengemaskini Akta 368 agar selaras dengan keperluan semasa,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button