Tun M mahu Anwar tunjuk bukti cubaan rasuah Agong

 

Oleh – Syeikh Baran


Tun M mahu Anwar tunjuk bukti cubaan rasuah Agong
ANWAR IBRAHIM dan DR. MAHATHIR MOHAMAD

Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengemukakan bukti mengenai dakwaan beliau cuba merasuah Yang di-Pertuan Agong untuk menggulingkan kerajaan.

Bekas Perdana Menteri itu mengulas dakwaan di media sosial, yang mendakwa beliau merasuah Yang di-Pertuan Agong sebanyak RM500 hingga RM1 bilion

“Saya sudah tua, saya tidak ada wang. Beliau (Anwar) kata saya ada berbilion ringgit.

“Jadi saya minta Anwar tunjukkan wang itu. Beliau kata ada sekotak laporan berhubung wang yang saya miliki tetapi sehingga kini beliau tidak dapat memberikannya.

“Bagaimana saya boleh menyembunyikan wang itu jika saya tidak memilikinya pada mulanya?”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Global Day of Action For Gaza Ceasefire Advocacy anjuran OKU Sentral di sini, hari ini.

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah tidak berasas terhadap pembangkang, Dr Mahathir berkata, beliau sering dituduh mempunyai wang yang banyak, namun tiada yang dibuktikan.

Sementara itu, ditanya sama ada dakwaan pembangkang mempunyai jumlah sokongan mencukupi untuk menggulingkan kerajaan adalah semata-mata bertujuan menyembunyikan kekurangan sokongan kepada mereka, Dr Mahathir berkata, setiap rakyat berhak menyuarakan pendapat mereka.

“Sekarang di Malaysia, tiada siapa boleh berkata apa-apa; kerajaan ini tidak membenarkan perbincangan mengenai bangsa, negara dan agama.

“Jadi, apa yang kita boleh katakan? Kita tidak boleh melaporkan pun jika kerajaan tidak suka. Ini adalah diktator.

“Jika mereka (pembangkang) kata mereka ada jumlah untuk tukar kerajaan, biarlah. Itu hak mereka,” katanya.

Sumber –  Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker