Bekas pegawai khas Menteri Besar didakwa palsukan slip gaji

JOHOR BAHRU: Bekas pegawai khas seorang Menteri Besar didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memalsukan slip gajinya berjumlah lebih RM15,000, empat tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Khairul Anuar Daud, 50, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Khairul Anuar yang kini bekerja sebagai ketua pegawai operasi sebuah syarikat penerbangan, didakwa telah memalsukan dokumen slip gaji sebuah syarikat penerbangan tempatan bagi bulan Mei 2018 atas namanya yang berjumlah RM15,820.63, dengan niat.



Ia adalah supaya dokumen palsu itu digunakan bagi tujuan menipu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Jabatan Pengurusan Sumber Manusia sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), di sini, antara 26 Jun hingga 10 Julai 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dayang Masneh Deh manakala tertuduh diwakili peguam, Hazza Khalid dan Suraya Hani Abdul Halim.



Terdahulu, Dayang Masneh memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin manakala pasport antarabangsa tertuduh diserah kepada mahkamah selain tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor Baru pada setiap bulan.

Namun, peguam tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin berikutan tiga anak tertuduh masih menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Tertuduh memohon supaya jumlah ikat jamin diturunkan kepada RM8,000 berikutan hanya dia yang bekerja menanggung keluarganya,” katanya.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.



Pasport antarabangsanya turut diperintah diserah kepada mahkamah dengan arahan supaya melapor diri ke Pejabat SPRM Johor Bahru, sebulan sekali sehingga kesnya selesai.

Sebutan semula kes berkenaan ditetapkan pada 21 November bagi penyerahan dokumen.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button