Beri tablet, laptop kepada ‘tahi judi’



Kuala Lumpur: Selepas hilang ‘menyepi’ sejak awal tahun lalu, sindiket perjudian atas talian di sekitar Lembah Klang kembali bernyawa tanpa memerlukan lagi premis atau markas statik.

Kali ini mereka dikesan menggunakan modus operandi dengan hanya membekalkan peranti mudah alih seperti tablet dan komputer riba diberikan kepada kaki judi.

Langkah itu membolehkan pelanggan melakukan pertaruhan judi di mana-mana sahaja mereka berada sekaligus mengelakkan sindiket diserbu polis ketika beroperasi.

Tinjauan wartawan di beberapa daerah seperti di Cheras, Sentul, Brickfields, Sungai Buloh, Gombak dan Wangsa Maju mendapati kebanyakan premis perjudian beroperasi dengan penuh berhati-hati.



Premis judi berselindung di sebalik premis perniagaan ini dikawal sepanjang masa oleh tonto atau individu digelar ‘penjaga air’.

Cubaan wartawan memasuki sebuah premis judi di Taman Lucky Garden, Bangsar di sini, baru-baru ini, tidak berjaya apabila salah seorang ‘penjaga air’ melarang wartawan memasuki premis berkenaan.

“Minta maaf abang, hari ini tutup, ‘line’ (keadaan) tidak berapa cantik, abang pertama kali sini kan? Biasanya kami hanya benarkan pelanggan tetap sahaja (masuk),” katanya.

Menerusi bantuan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wartawan turut memasuki beberapa premis perjudian di daerah Cheras, Sungai Buloh, Gombak dan Sentul di sini.



Semua premis berkenaan dikesan menyediakan tablet peranti mudah alih untuk kegunaan pelanggan dan kebanyakannya dijaga pekerja warga asing.

“Bos jarang turun, biasa¬†supervisor¬†(penyelia) datang ambil duit (hasil pertaruhan) petang. Sekarang kedai jadi tumpuan sebab orang (kaki judi) sudah tahu kedai dibuka.

“Kalau ada operasi (serbuan polis) bos juga akan bagi pampasan (ganti rugi) kepada pemain (pelanggan),” kata lelaki warga Bangladesh kepada wartawan.

Februari lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan akan menggerakkan empat jabatannya untuk memerangi dan menggempur semua bentuk kegiatan perjudian, termasuk sindiket perjudian dalam talian atau judi online.



Ia membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Jips), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) serta Cawangan Khas.

Ketika ini, tugas membanteras kegiatan perjudian adalah di bawah bidang kuasa Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) JSJ.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, langkah ini adalah satu komitmen serius PDRM dalam membanteras semua bentuk elemen perjudian di negara ini, khususnya perjudian dalam talian.

Guna aplikasi untuk bertaruh



Kuala Lumpur: ‘Masuk 10 (RM10) ‘cuci’ 50 (untung RM50)’. Itu slogan menjadi kegilaan ‘tahi judi’ yang sanggup berhabis ribuan ringgit bagi mendapatkan pulangan wang mudah harian.

Mereka tidak lagi perlu berjudi beramai-ramai di premis perjudian haram berikutan beberapa platform dan aplikasi di laman web turut dikesan semakin aktif menawarkan judi dalam talian.

Antara platform judi dalam talian terkenal adalah ‘Mega888’ dan ‘Kiss 918’ yang memerlukan ‘tahi judi’ memuatnaik aplikasi berkenaan ke telefon pintar.

Pemain judi hanya perlu membuat pindahan wang, membeli kad tambah nilai atau menggunakan e-wallet untuk bertaruh judi.

Tinjauan wartawan Harian Metro mendapati rata-rata platform dan aplikasi yang digunakan ini tidak disekat dan bebas untuk dilayari.

Seorang kaki judi tegar yang hanya mahu dikenali sebagai Taufik, 29, berkata, golongan kaki judi tidak perlu lagi bersusah payah mengambil risiko bertaruh judi di dalam premis tersorok atau pusat judi berselindung di dalam bangunan tertentu.

“Kami hanya perlukan telefon pintar untuk bertaruh judi pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Cara ini adalah lebih selamat berbanding pergi (bertaruh) di premis perjudian.

“Kalau ‘main’ (berjudi) dalam telefon pintar, hadiah pertaruhan boleh ‘dicuci’ terus sekelip mata. Sindiket akan memindahkan wang kemenangan ke dalam akaun bank tanpa menunggu lama.

“Namun risiko tetap ada apabila ada daripada penyedia perkhidmatan judi dalam talian ini tidak membayar wang kemenangan pertaruhan kepada pelanggan,” katanya.

Menurutnya, kegiatan judi dalam talian ini tidak hanya terhadap kepada golongan dewasa.

“Budak-budak sekolah juga boleh main (berjudi). Ia mudah sangat. Mereka hanya perlu beli top-up (tambah nilai) di kedai telefon sebagai pengganti kepada pindahan wang.

“Tauke (penyedia perkhidmatan judi dalam talian) ini menggunakan akaun syarikat untuk memindahkan wang jika ‘kaki judi’ ingin memulakan pertaruhan atau menuntut wang kemenangan,” katanya.

NGO sedia bantu perangi ‘kasino haram’

Kuala Lumpur: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersedia bekerjasama kepada pihak berkuasa bagi mengesan serta membongkar premis ‘kasino haram’ dan aktiviti perjudian dalam talian di negara ini.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, isu judi dalam talian bukan isu baharu malah sudah menjadi barah tahap empat dalam masyarakat.

Menurutnya, beliau yakin kepakaran dimiliki Polis Diraja Malaysia (PDRM) membolehkan sindiket judi dalam talian ini ditumpaskan.

“Mereka (polis) mempunyai akses, maklumat dan kepakaran dalam bidang ini (mematahkan sindiket judi). Saya yakin pihak berkuasa mampu memastikan sindiket judi di negara ini dibanteras sepenuhnya,” katanya.

Tambahnya, amat mendukacitakan apabila masyarakat dan komuniti setempat dilihat takut untuk membuat aduan dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

“Kita terima banyak aduan berhubung kewujudan premis perjudian dan perjudian dalam talian, sebenarnya ada penduduk takut untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

“Ia berikutan kejadian seorang individu di Sungai Buloh yang disiasat tempoh hari, walhal dia hanya menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa perlu melakukan penguatkuasaan berterusan bagi menghapuskan kegiatan haram ini dari kembali berleluasa.

“Kita tidak mahu masyarakat kata sindiket ini dilindungi. Apabila tiada tindakan dilakukan, ia seolah-olah mengiyakan perkara berkenaan.

“Judi dalam talian ini akan merosakkan masyarakat, mereka terpengaruh dengan iklan yang ditawarkan di dalam media sosial malah ada pempengaruh dilantik menjadi duta sindiket berkenaan,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker