Calon Bebas dukungan Imran Khan mendahului pesaing

Oleh – Syeikh Baran


Calon Bebas dukungan Imran Khan mendahului pesaing
Rakyat Pakistan mengikuti pengumuman keputusan pilihan raya melalui siaran televisyen. – FOTO AFP

Calon Bebas dukungan bekas Perdana Menteri, Imran Khan, berjaya memenangi paling banyak kerusi, menurut keputusan rasmi yang diumumkan setakat ini bagi lebih separuh daripada keseluruhan kerusi dipertandingkan pada pilihan raya Pakistan kali ini.

Mereka adalah penyokong Khan yang sedang menjalani hukuman penjara dan diisytiharkan hilang kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya kali ini berikutan sabitan kesnya di mahkamah.



Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinan Khan turut dilarang bertanding pada pemilihan ini menyebabkan calon-calonnya terpaksa bersaing atas tiket Bebas.

Hampir 24 jam telahpun berlalu sejak pengundian ditutup, semalam, namun pengumuman keputusan rasmi dilihat bergerak ‘luar biasa’ perlahan.

Menurut kerajaan, keadaan itu berlaku susulan penggantungan sementara rangkaian perkhidmatan telefon bimbit sebagai langkah keselamatan pada hari pengundian, semalam.

Setiausaha Khas Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan (ECP), Zafar Iqbal memaklumkan ia berpunca daripada ‘isu Internet’, tanpa menjelaskan lebih lanjut.

Berdasarkan keputusan rasmi setakat ini bagi 136 daripada keseluruhan 235 kerusi yang dipertandingkan, calon Bebas dukungan Khan membolot 49 kerusi, menurut penjumlahan dibuat Reuters berdasarkan pengumuman ECP.



Parti bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif – Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) meraih 42 kerusi, manakala Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Bilawal Bhutto Zardari pula memenangi 34 kerusi.

Baki kerusi lagi dimenangi beberapa parti kecil dan calon Bebas yang lain.

Bawah sistem pilihan raya Pakistan, calon Bebas tidak boleh membentuk kerajaan atas tiket itu, namun mereka mempunyai pilihan untuk menyertai mana-mana parti selepas pilihan raya. – REUTERS

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button