Portugal, Sepanyol berentap buru tempat ke separuh akhir

LISBON: Portugal dan Sepanyol akan bertemu di Estadio Municipal awal pagi esok waktu Malaysia dalam aksi Liga A Kumpulan 2 Liga Negara-Negara UEFA dengan tempat ke separuh akhir menjadi taruhan.

Skuad kendalian Fernando Santos menewaskan Republik Czech 4-0 pada perlawanan sebelum ini, manakala Sepanyol tergelincir dari tangga teratas selepas tewas 2-1 kepada Switzerland.

Ketiadaan Joao Cancelo tidak menjejaskan Portugal. Pemain Manchester City itu sekadar menjadi pemerhati ketika aksi menentang Republik Czech, di mana Diogo Dalot menjadi wira dalam kemenangan itu.



Diogo Jota dan Bruno Fernandes turut menjaringkan gol untuk skuad kendalian Santos yang kini berpeluang mara ke separuh akhir, dan meraih gelaran kedua kejohanan itu dalam tempoh tiga tahun.

Dengan 10 mata dikutip daripada 15 ditawarkan, juara edisi 2018-19 itu mengatasi Sepanyol untuk tangga teratas dengan satu perlawanan berbaki, dan keputusan seri sudah mencukupi buat skuad Selecao untuk mara.

Kegagalan Republik Czech menggegarkan gawang pada Sabtu membolehkan Portugal meraih kemenangan bersih ketiga daripada empat perlawanan Liga Negara-Negara, dan mereka hanya dibolosi dua kali sepanjang kejohanan kali ini – rekod pertahanan terbaik di antara 16 pasukan Liga A.

Portugal akan melayan Sepanyol di laman sendiri di mana mereka menang empat perlawanan dalam semua kejohanan sebelum ini, dan hanya gagal menang dua daripada sembilan aksi Liga Negara-Negara di depan penyokong sendiri setakat ini.



Sepanyol kendalian Luis Enrique mensia-siakan peluang untuk terus mendahului kumpulan apabila dikejutkan oleh Switzerland sebelum ini.

Jordi Alba menyamakan kedudukan untuk La Roja selepas Manuel Akanji membuka jaringan pada minit ke-21, tetapi Breel Embolo kembali meletakkan Switzerland di depan, sekali gus menjelmakan kekalahan pertama buat Sepanyol di laman sendiri dalam tempoh empat tahun.

Kesebelasan kemungkinan Portugal – Costa; Dalot, Dias, Pereira, Cancelo; Neves, Palhinha, Fernandes; B. Silva, Ronaldo, Leao

Kesebelasan kemungkinan Sepanyol – Simon; Carvajal, Garcia, Torres, Alba; Koke, Rodri, Pedri; Sarabia, Morata, Torres



– AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button