52 penuntut selami dunia arkeologi, ekskavasi



Seramai 52 peserta Program Life Universiti Sains Malaysia (USM) berkampung di Pusat Lapangan Arkeologi USM yang terletak di Lenggong, Perak, Ahad lalu.

 

Oleh Azrin Muhammad

IPOH – Seramai 52 penuntut berlainan latar belakang secara sukarela turun padang ke tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) di Kota Tampan, Lenggong bagi melihat sendiri perjalanan aktiviti arkeologi dan ekskavasi.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Profesor Dr. Stephen Chia Ming Soon, kunjungan berkenaan merupakan salah satu aktiviti dalam Program Life Universiti Sains Malaysia (USM) yang mempunyai kawasan kajian di Lenggong iaitu Pusat Lapangan Arkeologi USM.



“Seramai 52 orang pelajar dari Kampus Induk, Georgetown dan Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal telah mendengar taklimat arkeologi, ekskavasi, lawatan tapak, demonstrasi pembuatan dan penggunaan artifak seperti batu yang dijadikan alat untuk kehidupan harian manusia pra sejarah.

“Pelajar juga dibawa dan terlibat dengan aktiviti mencari siput yang menjadi diet masyarakat pra sejarah di Sungai Temelong,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, para pelajar Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan; Perumahan, Bangunan dan Perancangan; Sains Komputer; Ilmu Pendidikan; Kejuruteraan Kimia serta Elektrik dan Elektronik berkampung di Lenggong,Perak sepanjang hari Ahad sempena Program Life USM.

Sementara itu, Dr. Stephen berkata, acara yang berlangsung selama sehari itu berjaya mencapai objektif untuk memberi kesedaran mengenai tapak arkeologi di Lembah Lenggong agar pelajar lebih menghargai sejarah dan nilai warisan arkeologi negara serta menyediakan komuniti masa depan yang celik sejarah.



Tambahnya, kesemua pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti gotong-royong di Tapak Arkeologi Gua Teluk Kelawar dengan membawa slogan Bersama Menjaga Kepentingan Warisan Arkeologi sebelum menamatkan program.

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker