Dah pasang jerat untuk tangkap buaya di Sungai Melaka

Melaka: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka memasang beberapa jerat buaya di Sungai Melaka bagi menangkap buaya yang dikatakan dikesan di Sungai Melaka, berhampiran Kampung Morten di bandar raya ini.

Pengarahnya, Mohd Firdhaus Mahmood bagaimanapun berkata, lokasi pemasangan perangkap itu dirahsiakan bagi mengelakkan menjadi tumpuan orang ramai.

Katanya, jabatan itu sedia maklum mengenai klip video yang tular dalam media sosial sejak semalam yang dipercayai dirakam seorang lelaki yang menunjukkan seekor buaya berada di tebing sungai.



Selain itu, video itu memaparkan beberapa bangunan dipercayai berhampiran Kampung Morten dan dialog seorang lelaki yang mengeja perkataan ‘buaya’ ketika menunjuk kepada arah haiwan berkenaan.

Sehubungan itu, Perhilitan sudah memasang perangkap bagi membolehkan haiwan itu dipindahkan ke habitat lain.

“Kawasan itu dikenal pasti sebagai laluan buaya di Sungai Melaka yang menjadi sebahagian daripada habitat haiwan itu.

“Lokasi pemasangan perangkap tidak boleh diumumkan bagi mengelakkan kawasan itu menjadi tumpuan orang ramai yang menyebabkan ia menjadi bising dan sukar untuk buaya masuk perangkap,” katanya melalui aplikasi WhatsApp, hari ini.



Beliau berkata, beberapa pegawai sudah melakukan siasatan semalam dan mendapati buaya berkenaan bukan daripada kategori buaya besar yang berusia lebih 10 tahun.

Katanya, lazimnya habitat buaya di Sungai Melaka adalah di bahagian muara tetapi buaya yang dikesan dalam klip video berkenaan dipercayai berenang dari muara dengan melawan arus hulu sungai.

“Haiwan itu dipercayai mencari makan di tebing sungai dan usaha menangkapnya masih diteruskan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pelancong yang menaiki bot menyusuri Sungai Melaka supaya tidak mengganggu haiwan berkenaan jika terserempak dengannya atau mengesannya berjemur di tebingsungai.



Sebelum ini, PERHILITAN menerima beberapa aduan pelancong yang terlihat haiwan itu berada di tebing sungai dan usaha mengesannya belum berjaya kerana sudah masuk ke dalam sungai, katanya.

Setakat ini, jabatan itu tidak menerima aduan daripada pelancong diganggu buaya ketika menaiki bot menyusuri Sungai Melaka dari Taman Rempah di Jalan Mutahir ke Bandar Hilir dengan melalui

pelbagai lokasi menarik, termasuk Kampung Morten, katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button